Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 4, 2018

[JENGKA] KLINIK CUB PRIX KBS CARI PELUMBA MOTOSIKAL HANDAL



Klinik Cub Prix KBS cari pelumba motosikal handal



Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kejuaraan Cub Prix bekerjasama dalam program pencarian bakat pelumba di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak melalui Klinik Cub Prix KBS.

Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Rekreasi Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mahanum Fauzi berkata, program yang berlangsung di 22 venue seluruh negara itu sudah bermula di Felda Jengka 14, semalam.

Menurutnya, pencarian ini melibatkan kira-kira 130 peserta bertujuan digilap dan dibawa ke pentas perlawanan sebenar selepas diberi latihan daripada pakar. 

“Ini lokasi pertama dan selepas ini kita akan menjelajah ke 21 lokasi lagi termasuk Sabah dan Sarawak. 

“Kita bermula sejak awal pagi tadi (semalam) dengan ceramah, latihan praktikal serta sesi pemilihan.

“Dua pelumba terbaik di setiap lokasi Klinik Cub Prix KBS akan dibawa ke sesi pemilihan dan perlumbaan khas pada Disember nanti di Litar Lumba Tangkak, Johor. Pelumba terpilih akan diserapkan ke perlumbaan Satu Pengeluar Honda dan Yamaha Cub Prix untuk musim 2019,” katanya.

Sementara itu, Pengendali Program Azlan Shah Kamaruzaman berkata, 34, berkata, peserta yang terpilih akan menjalani sesi praktikal menggunakan jentera Honda dan Yamaha.

Beliau yang juga juara Supersport 600cc Asia Road racing Championship, berpuas hati dengan komitmen peserta.

Icon Cub Prix, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, dipilih sebagai pengendali program memberikan taklimat kepada peserta.

Beliau ketika ditemui optimis ramai pelumba muda bakal lahir dalam kalangan warga Felda.

“Dari segi semangat, skil serta teknik yang ditunjukkan, saya lihat ramai pelumba berbakat di sini sehingga sukar untuk buat pemilihan. Mereka sangat dedikasi.

“Mereka yang terpilih adalah yang terbaik di antara yang baik. Kepada yang tidak terpilih jangan berhenti di sini. Banyak lagi peluang yang ada untuk kembangkan kemahiran. 

“Layari Facebook Malaysian Cub Prix dan Jabatan Belia Sukan Negara untuk mengetahui jadual penjelajahan pencarian serta program lain yang dianjurkan KBS serta Cub Prix,” katanya.


0 comments:

share2