Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 4, 2018

[BERA] PRS MUDAHKAN PEKEBUN KECIL RISDA



PRS mudahkan pekebun kecil Risda



Pejabat Risda Stesen (PRS) diwujudkan bagi memudahkan pekebun-pekebun kecil Risda berurusan dengan kakitangan berkaitan perihal projek seliaan jabatan berkenaan.

Bangunan PRS Batu Papan, di sini, bernilai RM589,575 dengan keluasan 3,996 meter persegi mula dibina pada Februari 2008 dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima bulan pada tahun sama.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, PRS yang merupakan pejabat sub kepada Pejabat Risda Daerah (PRD) memulakan operasinya pada Januari 2009, menempatkan enam kakitangan bagi memudah cara pelbagai urusan berkaitan.

“Setakat ini, terdapat 300 PRS dengan seramai 562,000 ahli terdiri daripada pekebun kecil di seluruh negara menerima pelbagai manfaat dan bantuan disediakan kerajaan melalui Risda seperti Program Tanam Semula Berkelompok, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP).

“Bagi daerah Bera, sepanjang tahun ini RM7.2 juta telah diperuntukkan kepada Pejabat Risda Daerah bagi menjayakan pelbagai program pembangunan untuk pekebun-pekebun kecil Risda,” katanya.

Menurutnya, peruntukan RM7.2 juta itu untuk keseluruhan pekebun kecil dalam daerah ini membabitkan 7,023 orang yang memiliki keluasan kebun berjumlah 27,444 hektar, merangkumi Dun Guai, Triang dan Kemayan.

“Sebanyak RM1.5 juta juga diperuntukkan menerusi PPP, bertujuan menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar menyertai atau menjalankan projek ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan keluarga serta taraf hidup,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian PRS Batu Papan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian, Datuk Azizan Mohd Sidin dan Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Pada majlis sama, seramai 20 usahawan dalam kalangan pekebun kecil Risda menerima bantuan AET berjumlah RM200,000.


0 comments:

share2