Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 19, 2018

[KUANTAN] UNSUR SAINS DAN SASTERA PERLU DIGABUNG



Unsur sains dan sastera perlu digabung




Penghasilan penulisan saintifik yang digabungkan dengan unsur sastera akan memudahkan orang ramai untuk memahami informasi saintifik.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Profesor Madya Dr Ramzah Dambul berkata, gabungan dua unsur terbabit dalam penulisan akan membuatkan orang awam lebih tertarik dengan penulisan saintifik kerana ia dalam bentuk yang mudah difahami mereka.

Menurutnya, penulisan dan penerbitan karya saintifik berbeza dengan penulisan fiksyen dan bukan fiksyen kerana ia lebih berbentuk formal serta perlu memenuhi berapa prasyarat bagi melayakkannya dikategorikan sebagai karya saintifik.

“Sebagai contoh karya saintifik adalah tesis yang melalui kaedah penyelidikan. Malah, karya ini juga tiada unsur emosi dalam penjelasannya dan mesti mengikut logik serta ditulis menggunakan bahasa Melayu yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2018, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Zulkifli Mohamed Hashim, dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Abdul Khalik Sulaiman.

Selain itu, Dr Ramzah berkata, setiap penulisan saintifik yang dihasilkan perlu menggunakan komunikasi berkesan sebagai satu cara untuk menukar informasi dari penulis kepada pembaca secara lebih bermakna.

“Kebanyakan daripada mereka aktif menulis untuk penerbitan saintifik namun mengapa penulisan mereka tidak sampai kepada khalayak umum?

“Ia berlaku disebabkan penulisan terlalu teknikal dan berat bagi pembaca luar bidang untuk memahami informasi saintifik.. tu adalah naluri serta lumrah manusia,” katanya.

Sementara itu, Dr Zulkifli, berkata, seminar yang diadakan itu mengupas isu dunia penulisan dan penerbitan yang merangkumi cabaran, hak cipta, undang-undang, peranan dan masa depan penerbitan saintifik.

“Besar harapan kami untuk melihat karya-karya asli, berintegriti, berkualiti tanpa dinodai dengan unsur-unsur negatif,” katanya.


0 comments:

share2