Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 20, 2018

[KUANTAN] PENIAGA DIINGATKAN JANGAN NAIKKAN HARGA SESUKA HATI



Peniaga diingatkan jangan naikkan harga sesuka hati




Sebanyak 11,954 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan di negeri ini hingga membabitkan rampasan bernilai RM154,545.87 menerusi pemeriksaan berkala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK) Pahang bagi tempoh Januari hingga 31 Mac lalu.

Pengarah KPDNKK Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, kes yang dicatatkan bagi tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 334 berbanding 271 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu dengan jumlah keseluruhan kompaun RM50, 250.

Jelasnya, kesalahan paling tinggi dicatatkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu sebanyak 151 kes diikuti Akta Timbang Sukat 1972 sebanyak 134 kes.

“Kes berkaitan Akta Perihal Dagangan 2011 merekodkan 28 kes, Akta Perlindungan Pengguna 1999, 14 kes dan Akta Kawalan Bekalan 1961, tujuh kes.

“Nilai denda keseluruhan yang telah dicatatkan berjumlah RM1,800 berbanding hanya RM400 bagi tempoh sama tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam dalam satu sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Penguatkuasa KPDNKK Peringkat Negeri Pahang di Pejabat KPDNKK, Indera Mahkota di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, setakat ini pihaknya telah berjaya menyelesaikan 200 aduan yang diterima membabitkan masalah kenaikan harga barang.

“Kami cuba menyelesaikannya setiap satu dalam tempoh 21 hari, bagi tempoh ini berbaki lagi 32 aduan yang masih dalam proses untuk diselesaikan.

“Data kes yang direkodkan masih menunjukkan trend meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu, ia turut disebabkan faktor peniaga yang masih gagal mematuhi peraturan kawalan harga dan timbang sukat yang ditetapkan.

“Pegawai penguat kuasa sentiasa melakukan tinjauan rutin ke lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam dan tani untuk menjalankan pemantauan,” katanya.


0 comments:

share2