Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 20, 2018

[BERA] MANGSA BANJIR TERIMA SUMBANG WANG IHSAN



RM17,500 diagih kepada mangsa banjir



Sejumlah 35 keluarga terjejas bencana banjir di daerah ini sekitar Januari lalu, menerima sumbangan wang ihsan yang disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Pahang.

Bantuan bernilai RM500 bagi setiap keluarga itu disampaikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman, di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Papan, semalam.

Menurutnya, bantuan diberi kepada mereka yang mendaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Walaupun jumlah bantuan tidak besar, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban mereka,” katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan dan Taklimat Pengurusan Bencana Daerah Bera.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Datuk Razihan Adzharuddin; Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mansor Samsuddin dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Major Zairos Nizam Mohd Tarmizi.

Selain wang tunai, mangsa turut menerima kit perubatan kecemasan yang diserahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) Mahasiswa Pahang (Pautan), Rudy Eruwan Jamain.

Seorang penerima, Radzaan Sulaiman, 54 berkata, semasa bencana banjir itu, banyak barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh yang tidak dapat diselamatkan.

“Tapi, saya tetap bersyukur kerana semasa dan selepas bencana itu pelbagai bantuan saya terima. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang perlu saya tanggung.

“Duit yang saya dapat ini pun, saya akan guna untuk membeli barangan keperluan harian. Memikirkan setiap tahun rumah dilanda banjir, mungkin saya perlu fikir masak-masak sama ada nak beli perabot atau barang elektrik atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Hasnah Hassan, 55 pula, bantuan yang diberikan itu sudah semestinya untuk menampung keperluan harian walaupun jumlahnya tidak besar.

“Setiap tahun rumah naik air. Bagusnya kalau ada yang sudi menyediakan atau membina rumah rakit kepada mangsa bencana.

“Dapatlah kami selamatkan barang-barang apa yang perlu, tak perlulah setiap tahun menanggung kerugian. Apa pun, saya bersyukur dengan bantuan ini,” kata beliau.


0 comments:

share2