Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 12, 2018

[KUANTAN] BINA LOJI RAWATAN KUMBAHAN BERTEKNOLOGI TINGGI



Bina loji rawatan kumbahan berteknologi tinggi




Sebuah loji rawatan kumbahan serantau berteknologi tinggi bernilai RM521 juta sedang dibina di daerah ini, bakal memberi manfaat kepada lebih 400,000 penduduk bagi tempoh empat tahun lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Zullkefle Nordin berkata, pembinaan loji baharu itu bagi menggantikan semua 165 loji rawatan kumbahan sedia ada di sini.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan di Kampung Pat Mahat Kempadang, di sini, dibiayai sepenuhnya kerajaan Persekutuan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan telah bermula, 20 Februari lalu dengan jangkaan siap 19 Februari 2022.

“Reka dan bina sistem rangkaian paip baharu itu melibatkan laluan sejauh 60 kilometer untuk menyambungkan semua 165 loji sedia ada.

“Rata-rata loji berkenaan sudah berusia lebih 40 tahun dan tidak lagi menepati standard ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

“Loji rawatan kumbahan serantau ini menggunakan teknologi moden dan teknologi hijau selari dengan negara maju bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti dan mengurangkan pencemaran sungai dan pantai sekali gus memberikan penjimatan sehingga 50 peratus berbanding menyelenggarakan 165 loji sedia ada,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas Majlis Taklimat dan Penyelarasan Projek Pembinaan Loji Rawatan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan Bandar Kuantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Perumahan dan Perbandaran negeri, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengarah Eksekutif Jalur Cahaya Sdn Bhd Sheikh Mazlan Sheikh Hassan dan Pengarah Urusannya Aidil Abdul Aziz yang merupakan kontraktor dilantik melaksanakan projek tersebut.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Jalur Cahaya Sdn Bhd Sheikh Mazlan Sheikh Hassan dan Pengarah Urusannya Aidil Abdul Aziz yang merupakan kontraktor dilantik melaksanakan projek tersebut.

Dalam pada itu, kata Zullkefle, tapak bagi 165 loji yang dilupuskan nanti akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dibangunkan mengikut kesesuaian.

“Selepas diserahkan tanah tersebut, pihak kerajaan akan menilai sendiri berdasarkan saiz tanah sama ada melaksanakan projek kecil mahu pun besar.

“Terdapat beberapa cadangan untuk membina pusat komuniti atau taman permainan bagi tapak bersaiz kecil manakala kawasan perumahan mampu milik bagi tapak loji yang bersaiz besar,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, terdapat dua lagi projek pembetungan yang turut dilaksanakan membabitkan kawasan Indera Mahkota dan Cherating dengan nilai kos keseluruhan kira-kira RM240 juta.

“Kerja-kerja bagi projek pembetungan tersebut akan dilaksanakan pada suku ke empat tahun ini.

“Dengan terlaksananya semua projek ini, ianya dapat memodenkan sistem pelupusan air kumbahan domestik selaras dengan pembangunan banda dan kemajuan kualiti kehidupan penduduk,” katanya.


0 comments:

share2