Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 7, 2018

KP HOUSE UMP JADI PUSAT SEHENTI



Moh lepak kat KP House UMP




Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, Kuala Pahang House atau singkatannya KP House yang dibangunkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) perlu menjadi sebuah pusat sehenti aktiviti dan interaksi antara warga UMP dan generasi muda di Kampung Kuala Pahang.

Tengku Abdullah bertitah, UMP telah memainkan peranan yang signifikan bagi mentransformasikan masyarakat di Mukim Kuala Pahang, Pekan melalui inisiatif Empower ECER Mahkota Kuala Pahang dan juga Kuala Pahang Facelift 1.0.

“Dalam konteks Kuala Pahang Facelift khususnya, saya gembira kerana tumpuan telah diberikan terhadap transformasi fizikal, rumah-rumah kediaman, masyarakat setempat di Kampung Kuala Pahang dengan cat baru, sumbangan perabot dan kesedaran kebersihan bagi merealisasikan ungkapan Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku dalam erti kata yang sebenarnya.

“Kini saya sedia maklum bahawa UMP telah memulakan gerak kerja awal bagi pelaksanaan inisiatif Kuala Pahang Facelift 2.0 yang memberi tumpuan kepada aspek motivasi diri, literasi pengetahuan, STEM dan Bahasa Inggeris melalui penglibatan warga kerja dan mahasiswa Universiti ini,” titahnya pada ke Majlis Anugerah Cendekia Bitara (ACB) 2017, malam tadi.

Turut berangkat, Tunku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Tengku Abdullah bertitah, KP House dapat diupayakan sebagai teras transformasi pengetahuan dan pendidikan dalam kalangan masyarakat setempat dan boleh pula dijadikan model rujukan yang boleh ditanda aras oleh organisasi lain sama ada dari dalam atau luar Malaysia.

“Sekiranya pendekatan KP House dalam agenda Kuala Pahang Facelift 2.0 ini dapat direalisasikan dengan berkesan, saya percaya bahawa UMP boleh pula meneroka peluang-peluang baharu di seluruh negeri Pahang ini dengan menggunakan pendekatan yang sama,” titahnya.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, edisi kesepuluh Anugerah Cendekia Bitara (ACB) yang istimewa ini dilatari dengan tema UMP 4.0: Redesigning The Future.

Beliau berkata, tema itu mendukung komitmen UMP untuk muncul sebagai sebuah universiti gemilang dengan acuannya yang tersendiri, pendekatan strategik yang unik dan keterampilan yang berani berbeza.

Pada majlis ini, Anugerah Cendekia Bitara dan Anugerah Akademik Cemerlang diberikan kepada 94 pensyarah dan staf cemerlang dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan pembelajaran.


0 comments:

share2