Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 9, 2018

KERAJAAN BN RUMUS DASAR UNTUK MASA DEPAN RAKYAT - NAJIB



Kerajaan BN rumus dasar untuk masa depan rakyat – Najib




Tawau – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan semua dasar yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya adalah untuk membawa perubahan masa depan lebih baik kepada rakyat.

Katanya dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan juga merupakan sesuatu yang realistik dan mampu dilaksanakan dan bukannya sesuatu yang berada di alam fantasi.

“Kita (BN) tidak boleh berjanji atas kata-kata yang tak mungkin dapat dipenuhi ataupun dapat menjadi kenyataan. Bererti bahawa itu satu dunia fantasi. Orang Indonesia kata ‘omong-omong kosong’ sahaja.

“Kita nak sesuatu yang boleh menjadi suatu kenyataan. (Sebagai contoh) Pusat Transformasi Bandar ( UTC) merupakan satu konsep penyampaian perkhidmatan yang belum mampu dilakukan oleh mana-mana negara di dunia.

“Diiktiraf oleh Bank Dunia. Diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa bahawa inilah satu konsep perkhidmatan yang unik, yang terbaik kerana hampir samua jabatan kerajaan pusat dan negeri yang penting diletakkan di bawah satu bumbung dan boleh (beroperasi) tujuh hari seminggu, dari pukul 8 pagi sampai 9 malam.

“Di negara maju tuan-tuan, jangan mimpi. Mereka ada ayat ‘never on Sunday’. Maknanya hari cuti tak boleh bekerja. Tetapi di Malaysia hari cuti hujung minggupun kita buka perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan UTC Tawau di sini, hari ini. Turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan dua timbalannya Datuk Seri Yahya Hussin dan Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali.

Malah yang lebih membanggakan, kata Najib penyiapan UTC Tawau cuma mengambil masa 10 minggu dengan perbelanjaan kira-kira RM30 juta dan mampu menjadikan pusat bandar Tawau sebagai satu pertumbuhan penting yang didorong oleh sistem penyampaian perkhidmatan awamnya yang cekap.

Sebagai contoh, katanya, UTC menyediakan perkhidmatan pembuatan pasport antarabangsa yang boleh disiapkan dalam masa sejam sahaja sedangkan di negara lain memakan masa sehingga dua minggu.

Bagi membuat kad pengenalan MyKad pula, Najib berkata ia cuma mengambil masa selewatnya-lewatnya beberapa jam atau paling lama satu hari.

Malah, perdana menteri berkata, rakyat yang berurusan di UTC boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan lain di pusat itu sementara menunggu sesuatu urusan mereka selesai kerana banyak agensi diletak di bawah bumbung yang sama.

“Masuk ke UTC, sementara menunggu pasport siap, pelanggan boleh cabut gigi di klinik pergigian di UTC dengan bayaran RM1 berbanding swasta yang mungkin beratus ringgit. Inilah yang kita katakan mendahulukan rakyat,” katanya.

Najib berkata UTC cuma satu daripada aspek yang membuktikan dasar kerajaan BN sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan banyak lagi akan dilakukan kerajaan jika BN diberi mandat sekali lagi membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.


0 comments:

share2