Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 24, 2018

JUARA SINARAN SANGGUP JADI 'JAGA', TUKANG CUCI



Semoga Alina kembali mendapat peluang dalam seni



Siapa sangka bekas juara Sinaran Passport Kegemilangan (1996) dan finalis Kilauan Emas (2013), Alina Hassan, 51, melalui perjalanan yang sukar dalam kehidupannya selepas menghilangkan diri dalam bidang seni beberapa tahun lalu.

Dia yang pernah merakamkan dua buah album studio dan popular menerusi lagu Dingin ini, mengakui melakukan pelbagai kerja untuk menyara hidupnya selepas berpisah dengan bekas suami.

Mengetepikan status dirinya sebagai anak seni yang dikenali, pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat membeli belah Suria KLCC, sebelum beralih menjadi tukang cuci demi mencari rezeki.

“Saya berkahwin dulu, saya membuat keputusan untuk meninggalkan bidang seni dan memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga. Namun apakah daya jodoh bersama bekas suami tidak panjang dan kami berpisah.

“Saya cuba kembali menyanyi, tetapi bukan mudah kerana saya dah lama tinggalkan bidang nyanyian lagipun tawaran pun tak selalu ada. Kalau adapun bayarannya terlalu rendah, di mana saya pernah dibayar sebanyak RM100 ketika menggantikan tempat orang.

“Jadi saya terpaksa memilih untuk melakukan kerja lain yang mampu memberikan pendapatan tetap termasuklah menjadi jaga di KLCC sebelum masuk program Kilauan Emas dan terkini sebagai tukang cuci,” kongsinya jujur ketika sesi FB Sinar Harian baru-baru ini.






Menurut Alina, biarpun pada awalnya terdetik rasa malu untuknya melakukan pekerjaan tersebut, namun lama-kelamaan dia mula menyesuaikan diri.

“Tak tahulah sama ada orang perasan atau tidak ketika saya menjalankan kerja-kerja saya itu. Tapi kalau ada yang perasanpun, saya tak ambil peduli kerana perlu survive untuk meneruskan kehidupan saya.

“Mulanya memanglah saya rasa kekok nak buat kerja tu, tapi bila dah lama-lama saya boleh biasakan diri dan merasa puas hati setiap kali dapat melunaskan tanggungjawab yang diberikan itu dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Pun begitu, minatnya kepada bidang nyanyian tidak pernah luntur, malah sentiasa mencari peluang untuk menyanyi dalam masa yang sama.

Usaha itu akhirnya membawa Alina menyertai program Mentor Otai dan kemudiannya terpilih menjadi protege Siti Sarah.

“Walaupun tahu keadaan saya sudah tidak sama seperti dulu, tetapi apa salahnya saya mengambil peluang yang ada dan alhamdulillah terpilih menjadi protege Sarah.

“Kalau ada rezeki menang, saya nak gunakan hadiah kemenangan itu untuk beli sebuah van dan perkakas mencuci kerana saya nak teruskan kerja mencuci tetapi dengan membuka syarikat saya sendiri pula nanti.

“Apa-apa pun, saya nak fokus kepada program Mentor terlebih dulu dan cuba memberikan yang terbaik dengan bantuan dan bimbingan daripada Sarah selaku mentor saya,” tegasnya.


0 comments:

share2