Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 24, 2018

[KUANTAN] SEBAK BERTEMU KELUARGA PENYOKONG



Sebak bertemu keluarga penyokong



Keluarga seorang penyokong pasukan Pahang yang meninggal dunia selepas menyaksikan perlawanan Piala FA antara Pahang dan Kedah di Stadium Darul Makmur, di sini, Sabtu lalu terharu apabila diziarahi pegawai dan pemain pasukan itu, petang semalam.

Keterujaan keluarga Allahyarham Azmi Mat, 63, menerima rombongan ziarah kasih yang diilhamkan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertukar pilu apabila Pengurus Pasukan, Dato' Mohammed Sufian Awang gagal menahan perasaan sebaknya sejurus menemui dan berbicara dengan keluarga tersebut.

Isteri Allahyarham, Khairiah Harub, 43, menghargai keprihatinan Mohammed Sufian serta Penolong Pengurus, Dato' Che Nasir Salleh dan Ketua Jurulatih, Dollah Salleh bersama pemain Pasukan Tok Gajah kerana sudi menziarahi mereka di Taman Mega Ria 2, di sini.


Rombongan turut mengadakan bacaan tahlil untuk Allahyarham.


Menurutnya, ketika dia dan anak-anak masih bersedih atas kehilangan Allahyarham, kunjungan yang tidak dijangka itu sedikit sebanyak menyuntik semangat mereka untuk terus kuat menghadapi dugaan itu.

“Saya terharu apabila sokongan arwah suami pada pasukan selama ini dihargai pasukan. Dengan kehadiran pihak pengurusan serta pemain hari ini (semalam) amat menyentuh perasaan saya anak beranak," katanya ketika ditemui selepas program ziarah itu, semalam.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, Dollah Salleh berkata, beliau sendiri secara peribadinya terasa dengan kehilangan itu dan turut bersimpati dengan keluarga.

“Allahyarham seorang penyokong tegar. Saya dapat tahu dia selalu ke stadium menyaksikan perlawanan pasukan.

“Semangat yang ditunjukkan Allahyarham sebenarnya memberi semangat kepada pemain untuk beraksi dengan lebih baik demi menghadiahkan kemenangan kepada penyokong,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi tonggak pasukan, Mahmadou Sumareh yang turut serta bersama pemain dalam dalam ziarah itu.

Pada program ziarah itu, majlis tahlil dan gotong-royong bersihkan kubur turut diadakan.


0 comments:

share2