Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 9, 2018

BERA BAKAL JADI HAB PENDIDIKAN



Bera bakal jadi hab pendidikan



Hasrat kerajaan untuk menjadikan Bera sebagai hab pendidikan di negara ini bakal direalisasikan dalam masa terdekat apabila perancangan pembinaan sekolah berasrama penuh dan institusi pengajian tinggi sedang rancak dibangunkan.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang akan dibina di sekitar Bandar 34 Bera menjanjikan kerancakan pembangunan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat.

Perancangan pembangunan ini mendapat reaksi positif pelbagai lapisan masyarakat dan mereka mahu, hasrat itu dilaksanakan secepat mungkin.

Seorang penduduk, Suriani Abd Razak, 36, berkata, Parlimen Bera mengalami perubahan pembangunan yang ketara bukan sahaja dari aspek pembangunan sosial tetapi juga kerancakan ekonomi terutama membabitkan Bumiputera.

“Banyak perubahan yang berlaku, dan sememangnya rakyat mahukan perubahan itu dari semasa ke semasa untuk memperbaiki kehidupan sekarang, dan juga untuk masa depan anak-anak.

“Kita bertuah kerana kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai rakyat di kawasan luar bandar, yang secara tidak langsung memberi peluang kepada kita untuk menikmati pembangunan seiring dengan rakyat di kawasan bandar,” katanya.


Akademi Keusahawanan KPTM yang disediakan kerajaan menerusi KKLW dipercayai dapat membantu para usahawan untuk menimba lebih banyak ilmu latihan kemahiran, sementara menunggu bangunan KPTM siap dibina di Bandar 34 Bera.


Menurut Suriani, pembinaan MRSM dan KPTM memberi petanda positif bahawa Bera juga mampu bersaing maju dari segi pendidikan berbanding dengan tempat lain yang sudah lama memiliki kemudahan tersebut.

Katanya, sekiranya kemudahan pendidikan itu dapat direalisasikan secepat mungkin, Bera bakal melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di tempat sendiri.

Sementara itu, Shaswa Fatihah Azman, 19, memberitahu, kewujudan hab pendidikan itu dapat memperluaskan lagi peluang kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.

Katanya, walaupun sudah terdapat kemudahan pendidikan seperti kolej komuniti dan GiatMara yang memberikan pendidikan latihan kemahiran dalam bidang tertentu sahaja, ia belum mencukupi.

“Bukan semua orang berminat untuk mengikuti kursus yang disediakan, dan juga bukan semua orang mampu berjauhan daripada keluarga. Jadi, kalau ada lebih banyak pilihan, itu lebih baik.

“Sekurang-kurangnya, mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti masih boleh mengikut kursus latihan kemahiran yang ditawarkan menerusi hab pendidikan di sini,” kata beliau.

Bagi Azril Ramli, 35, pula, ini merupakan salah satu pembangunan dalam agenda pendidikan yang boleh membantu melonjakkan pembangunan di Bera yang sangat berkait rapat dengan pembangunan ekonomi.

“Menerusi hab pendidikan ini, saya percaya akan wujud peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya kepada anak-anak muda di sini sama ada di kawasan perkampungan tradisional, tanah rancangan Felda atau perkampungan Orang Asli.

“Pada masa sama, sekiranya Bera jadi hab pendidikan, daerah ini akan dikenali, sekali gus menaikkan imej Bera yang turut memiliki khazanah sejarah dan produk pelancongan yang masih belum diterokai,” kata beliau.


0 comments:

share2