Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 15, 2018

[LIPIS] SKUAD MUDA JPJ BANTU MAT REMPIT


Skuad Muda JPJ bantu mat rempit



Penubuhan Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilihat platform terbaik memberi kesedaran terhadap pesalah jalan raya khususnya mat rempit.

Pengerusi Skuad Muda JPJ negeri, Datuk Mohd Yusri Mat Nor berkata, selaku NGO, Skuad Muda JPJ berperanan menyampaikan ceramah keselamatan jalan raya, cara pemanduan berhemah serta memberi kesedaran kepada mat rempit mengenai kegiatan tidak sihat yang dilakukan mereka.

Menurutnya, skuad itu juga bertanggungjawab memberi penerangan mengenai aspek keselamatan seperti pemakaian topi keledar yang betul dan keperluan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan kepada golongan sasar.

"Sejak ditubuhkan pada Ogos 2013, skuad ini mempunyai 9,000 ahli berdaftar dan sasaran sehingga penghujung tahun ini kita dapat mengumpulkan 20, 000 ahli.

"Kita memerlukan individu yang layak berumur 16 tahun ke atas menjadi Skuad Muda JPJ kerana ancaman utama yang menjadi punca kematian penduduk Malaysia adalah kemalangan jalan raya dan majoritinya melibatkan penunggang motosikal,.

"Justeru, kita berusaha bersungguh-sungguh dan akan ‘turun padang’ bagi menyampaikan maklumat yang benar mengenai JPJ selain berusaha menyemai semangat kesukarelaan, memupuk perpaduan ahli berbilang kaum serta membina sifat patriotisme,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Karnival Jom JPJ Bersamamu Peringkat Parlimen Lipis di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Hadir merasmikan program berkenaan Ahli Parlimen Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamad. Turut serta Adun Padang Tengku, Dato' Mustapa Long; Pengarah JPJ negeri, Mohammad Abdullah; Ketua Polis Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob dan Ketua Skuad Muda JPJ Parlimen Lipis, Shahriman Daud.

Program berkenaan menarik kira-kira 500 penduduk yang mahu memperbaharui lesen dan cukai jalan, pemeriksaan kenderaan yang tidak memperbaharui cukai jalan lebih setahun, pemotongan pembayaran saman sebanyak 50 peratus, pertukaran butiran peribadi pada lesen seperti alamat pemilik serta lain-lain.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memuji usaha JPJ yang turun padang mendekati masyarakat dan menyediakan kaunter perkhidmatan terus kepada rakyat.

"Sebelum ini, jika ada kenderaan milik penduduk di sini yang tamat cukai jalan melebihi setahun, mereka perlu ke Raub untuk membuat pemeriksaan Puspakom, tapi kali ini berbeza apabila JPJ sendiri turun ke Lipis untuk membantu masyarakat.

"Difahamkam juga program ini akan dilaksanakan di semua parlimen di negeri ini. Kita menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan JPJ,"katanya.


0 comments:

share2