Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 15, 2018

[JERANTUT] 'INGATKAN PENCURI, RUPANYA RUMAH TERBAKAR'


‘Ingatkan pencuri, rupanya rumah terbakar’



Bau hangit menyedarkan seorang pesara kerajaan bahawa rumah jirannya yang pada awalnya disangkanya dimasuki pencuri, rupanya terbakar, malam semalam.

Kejadian kebakaran di rumah teres Taman Embun Jaya, di sini, itu dianggarkan berlaku sekitar jam 10.30 malam kelmarin.

Noriah Ab Rashid, 55, berkata, dia yang baharu hendak melelapkan mata pada waktu itu secara tiba-tiba mendengar bunyi ‘pop’ berulang kali dari rumah jirannya itu.

“Saya dengar bunyi dari atas syiling dan kemudian bunyi itu semakin kuat. Saya tahu jiran sebelah tiada di rumah sebab baru lepas bersalin dan sedang berpantang di kampung, jadi saya sangka mungkin ada pencuri.

“Masa saya nak keluar nak tengok apa yang berlaku, anak saya halang sebab risau kalau betul-betul ada pencuri,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Noriah yang berasa tidak sedap hati dengan keadaan itu secara tiba-tiba terbau sesuatu yang hangit lalu segera berlari keluar bagi melihat apa yang berlaku.

“Saya bau macam hangit. Bila keluar dan intai di rumah jiran...saya nampak api sedang marak di bahagian dinding sebelah rumah saya.

“Lepas tu saya suruh empat ahli keluarga yang ada di dalam rumahnya cepat-cepat keluar selamatkan diri, dan terus pergi ke rumah jiran lain minta dia tolong telefon bomba,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa, Mohd Shafie Tahar, 36, berkata, dia mengetahui rumah yang disewanya sejak enam tahun lalu itu terbakar menerusi panggilan telefon jiran sekitar jam 11 malam semalam.

“Saya terkejut bila dimaklumkan perkara itu, dan sebaik saya sampai, saya lihat bahagian dalam rumah habis terbakar.

“Saya lega sebab ia tak melibatkan kehilangan nyawa selain rasa lega kerana api tidak marak sehingga ke rumah jiran,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia berada di rumah itu sebelum pulang ke kampung mertuanya di Felda Jengka 11 adalah pada sekitar jam 8 malam semalam.

Mohd Shafie yang merupakan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Temerloh telah berulang alik dari rumah mertuanya dan rumah sewanya sejak isterinya, Norhazwani Abd Majid, 30, melahirkan anak kedua mereka, 20 Disember lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Komander Operasi Zon Timur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Arshad Abdullah berkata, pihak bomba menerima panggilan sekitar jam 10.35 malam semalam.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 10.42 malam dan mendapati berlakunya kebakaran di bahagian ruang tamu rumah. Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar lima minit kemudian. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.


0 comments:

share2