Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 19, 2018

PENYAKIT HFMD PERLU RAWATAN SEGERA ELAK LEBIH SERIUS


Penyakit HFMD perlu rawatan segera elak lebih serius


Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak perlu ditangani segera bagi menghalang ia bertambah serius.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Azuwa Arif berkata, penyakit itu tidak berbahaya jika dapat dikesan pada peringkat awal dan mendapat rawatan pemulihan dengan mempertingkatkan tahap kebersihan diri dan persekitaran.

Menurutnya, kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan penyakit menjadi lebih serius.

“Kalau anak demam dan terdapat tanda-tanda seperti lepuh di tapak tangan, kaki dan ulser di dalam mulut, mereka perlu segera dibawa berjumpa doktor. Jangan sesekali menunggu dalam tempoh yang lama untuk bertindak.

“Ini kerana, penyakit HFMD ini sangat mudah merebak melalui sentuhan, air liur, rembesan air semasa batuk atau bersin dan juga najis. Dan ia merupakan penyakit berjangkit yang mampu merebak dalam tempoh amat singkat sahaja,” katanya selepas Lawatan Kerja Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman di Taska Permata Kemas, di Padang Luas, semalam.

Ia diarahkan ditutup sementara sejak 16 Januari lalu berikutan terdapat kanak-kanak disyaki dijangkit penyakit itu.

Dr Azuwa berkata, HFMD adalah demam virus yang kelazimannya menyerang kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah, dan ia boleh menjadi wabak sekiranya mereka tidak di kuarantin atau diasingkan daripada kanak-kanak yang lain.

Malah, pihaknya turut melaksanakan pemantauan harian bagi setiap taska, tabika atau sekolah bagi mempertingkatkan pemahaman mereka berkaitan penyakit ini.

Sementara itu, Norol Azali berkata, walaupun penyakit ini difahamkan hanya menyerang kanak-kanak, namun golongan dewasa tidak seharusnya memandang remeh perkara ini.

Menurutnya, langkah pencegahan perlu dilaksanakan bermula dari rumah dengan memastikan keadaan persekitaran rumah dan diri sentiasa bersih.

“Saya difahamkan, penyakit ini berjangkit melalui sentuhan dan air liur, jadi ibu bapa perlu sentiasa tengok keadaan anak. Basuh tangan mereka lepas makan, atau pegang sesuatu.

“Malah, pastikan semua peralatan di rumah bersih. Kalau ada anak yang disyaki dijangkit, cuci semua barang mainan yang dipegang mereka kerana dikhuatiri berjangkit kepada anak lain yang memegang barangan yang sama,” katanya.

Norol Azali berkata, tindakan agresif Pejabat Kesihatan Daerah dengan melakukan pemantauan setiap hari bukan sahaja di taska tersebut, malah juga rumah kanak-kanak yang dijangkiti penyakit itu termasuk taman permainan di kawasan berdekatan wajar dipuji.

Katanya, tindakan ini sebagai usaha mencegah penyakit HFMD ini merebak di kawasan lain.


0 comments:

share2