Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 19, 2018

'JANGAN SALAH PILIH'




Nabawan: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat supaya tidak mengambil mudah dalam membuat keputusan apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), hingga tersalah pilih kerajaan untuk mentadbir negara.

Perdana Menteri berkata, kestabilan politik dan keamanan yang dikecapi negara selama ini di bawah kerajaan sedia ada, perlu dipertahankan kerana negara tidak akan maju jika rakyat bersengketa atau berlaku keadaan politik tidak stabil.

"Tidak susah untuk kita menukar kerajaan dan tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, sekali kita buat silap, negara boleh hancur.

"Ini tidak patut kita lakukan kerana rakyat khususnya di kawasan luar bandar masih memerlukan pembangunan dan ini hanya boleh dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita perlu lihat ke hadapan 30 tahun akan datang demi generasi muda, lebih banyak lagi pembangunan akan dibawa ke Nabawan dan Pensiangan, bukan hanya klinik kesihatan atau kompleks sukan, malah kita akan pastikan Nabawan termasuk dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo pada fasa seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemimpin bersama rakyat Parlimen Pensiangan di Dataran Pekan Nabawan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pensingan, Tan Sri Joseph Kurup.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pembangkang hanya pandai bercakap 'buyuk' (berbohong) dengan menabur pelbagai janji kerana mereka hanya mahu kuasa.

"Mereka dalam keadaan tertekan, malah ada orang yang sudah bersara dan berumur 93 tahun pun mahu diangkat jadi Perdana Menteri.

"Di dunia ini, mana ada orang macam ini, negara lain umur 93 tahun, tidak pakai lagi, Zimbabwe pun tidak pakai, takkan Malaysia mahu pakai," katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan lebih banyak pembangunan akan dibawa oleh kerajaan BN kepada penduduk di pedalaman negeri ini.

"Saya baru saja tadi merasmikan Klinik Kesihatan Nabawan yang memudahkan penduduk di kawasan ini untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu ke Keningau atau Kota Kinabalu. Pegawai perubatan yang datang bertugas di sini juga ada dari Semenanjung.

"Ini menunjukkan kesatuan kita dalam Malaysia dan Sabah memerlukan sokongan dari Semenanjung. Bukan kita mahu ambil hak orang Sabah, saya tidak mahu ambil hak Sabah, tetapi saya datang untuk membela rakyat Sabah, mahu bawa banyak pembangunan berbanding Perdana Menteri selama 22 tahun," katanya.

"Apabila kita mengundi BN, banyak lagi perubahan akan dibuat di Pensiangan, Nabawan dan Sabah khususnya. Tetapi pembangkang apa yang mereka boleh buat? tak ada. Hanya jadi wakil rakyat percuma lima tahun," katanya.

Sempena majlis itu, Najib meluluskan peruntukan RM3 juta bagi membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Pensiangan dan meminta Kementerian Kesihatan mengadakan pusat hemodialisis di Klinik Kesihatan Nabawan, pada akhir tahun ini.

Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri di Dataran Pekan Nabawan disambut dengan laungan "onsoi" (bahasa Murut) atau bagus, oleh penduduk dari sekitar Nabawan dan Pensiangan yang menunggu kehadiran pemimpin negara itu seawal jam 6 pagi.


0 comments:

share2