Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 19, 2018

PAS SELANGOR TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN MENGADAP SULTAN




Kuala Lumpur – PAS Selangor tidak menolak kemungkinan untuk mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu semasa di negeri itu.

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi seperti dilaporkan media, ia termasuk spekulasi peruntukan dana kepada ADUN parti itu yang akan dibekukan.

“Isu ini sebahagian daripada kemungkinan yang akan kita lakukan tapi kita belum boleh pastikan dan akan tengok dari sudut sejauh mana pembekuan berlaku.

“Jadi kalau beku, mengadap tuanku adalah sebahagian daripada itu. Itu pun jika tuanku berkenan. Kalau tak berkenan tak buat boleh apa kerana ini adalah isu politik,” beliau dipetik sebagai berkata.

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan mahu membekukan peruntukan kawasan yang disalurkan kepada semua 13 ADUN PAS Selangor dan lima penyelaras DUN.

Mengulas lanjut, Sallehen berkata pihaknya dimaklumkan secara lisan oleh Bendahari Kerajaan Negeri berkaitan pembekuan tersebut. 

Bagaimanapun ujar beliau, ia masih belum dapat dipastikan kerana tidak ada sebarang surat rasmi dikeluarkan.

Malah, katanya, bagi peruntukan bulan Disember, mereka juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat tuntutan.

Katanya PAS akan menunggu terlebih dahulu dan sekiranya peruntukan mereka dibekukan, mereka akan mengambil langkah seterusnya.


0 comments:

share2