Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 19, 2018

[KUANTAN] PEMANDU BAS DIHUKUM PENJARA SEHARI DAN DENDA


Pemandu bas dihukum penjara sehari, denda RM10,000


Seorang pemandu bas dihukum penjara sehari dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan penukaran hak milik sebuah bas.

Tertuduh, M. Indran, 32, turut berdepan hukuman enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman ke atas tertuduh itu diputuskan Hakim Dazuki Ali setelah lelaki itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 456 akta yang sama membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Circular Resolution Syarikat Two K Holiday Sdn Bhd bertarikh 15 April 2014 yang membenarkan tertuduh membeli sebuah bas milik itu dengan harga RM45,000.

Bagaimanapun dokumen tersebut adalah palsu memandangkan pengarah syarikat tersebut tidak pernah mengeluarkan sebarang Circular Resolution bertarikh sama.

Tertuduh, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Raub pada 20 Mei 2014.

Menurut fakta kes, tertuduh telah memajak bas berkenaan daripada sepasang suami isteri dan mereka bersetuju dengan pembayaran RM5,000 sebulan kepada Syarikat Two K Holiday Sdn Bhd.

Namun pada tahun kedua pajakan, tertuduh langsung tidak membuat sebarang pembayaran sehingga pihak Syarikat Two K Holiday Sdn Bhd mendapat saman akibat beberapa sebab, lantas pemilik bas telah membuat laporan polis dan semakan di JPJ di Terengganu dan mendapati kenderaan terbabit sudah bertukar milik kepada tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mengemukakan satu dokumen palsu iaitu Circular Resolution Syarikat Two K Holiday Sdn Bhd bertarikh 15 April 2014 sebagai tulen di JPJ Raub.

Tertuduh yang masih bujang diwakili peguam, Mohd Hamizi Mat Said membuat rayuan kepada mahkamah bagi mengurangkan denda berikutan pendapatannya hanya sekitar RM1,200 dan menanggung ibu yang sudah tua serta masih tinggal bersamanya.

Sementara itu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry turut memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana telah menyebabkan pemilik bas berkenaan terpaksa menanggung kos kerugian bas miliknya yang mana di dalam rekod JPJ telah ditukar hak milik.


0 comments:

share2