Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 21, 2018

[PEKAN] KERAJAAN BANTU NELAYAN DARAT


Kerajaan bantu nelayan darat


Kerajaan menerusi Parlimen Pekan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang akan terus menyalurkan bantuan kepada nelayan darat serta laut di daerah itu secara berperingkat tahun ini.

Adun Peramu Jaya, Dato' Sri Sh Mohamed Puzi Sh Ali berkata, bantuan tersebut bagi menghargai mereka yang menjadi antara penyumbang utama dalam perkembangan sosio-ekonomi negara.

Katanya, peranan dan jasa nelayan darat mahu pun laut dalam sangat besar maka bantuan yang disalurkan membuktikan bakti mereka semakin diiktiraf.

"Kerajaan tampil membantu nelayan kerana kita menjaga kebajikan mereka berikutan pekerjaan dalam sektor ini bukan mudah dan dianggap begitu mencabar serta berisiko tinggi. Keselamatan mereka juga kurang terjamin...nyawa mereka diibarat sentiasa berada di hujung tanduk terutama musim tengkujuh.

"Bantuan demi bantuan yang diberikan bukan sahaja melibatkan kelengkapan menangkap ikan malah elaun sara hidup, subsidi minyak, imbuhan tangkapan hasil laut dan banyak lagi bagi meringankan beban nelayan.

"Kita mahu melihat taraf ekonomi nelayan pada hari ini berada di tahap yang memuaskan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Tangkapan Ikan Kepada Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Pekan di Pejabat LKIM, Kuala Pahang, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah LKIM Pahang, Rashima Baharuddin dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pekan, Jali Ismail.

Dalam majlis itu, seramai 100 nelayan terdiri daripada nelayan darat dan laut daerah Pekan menerima bantuan berbentuk tong insulasi yang boleh memuatkan sehingga 200 kilogram hasil tangkapan, jaket keselamatan, jaring dan set peralatan menangkap ikan.


0 comments:

share2