Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 4, 2018

[KUANTAN] 'SAYA REDHA DENGAN UJIAN ALLAH'


 'Saya reda dengan ujian ALLAH'


"Saya sedih sangat apabila melihat barang-barang sekolahnya yang saya dah simpan setempat untuk kegunaan arwah.

Demikian ujar, Muhamad Afif Abdul Razak, 32, ayah kepada mangsa banjir pertama di negeri ini, Muhammad Farish Aqeel, 7, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Kampung Padang Jaya, Sungai Lembing, di sini, kira-kira jam 6 petang semalam.

Menurut Afif, sebelum kejadian anaknya begitu bersemangat untuk bersekolah baharu hinggakan bermacam-macam kelengkapan diingini dan segalanya telah dituruti.

"Hari ini pun dia nampak sangat aktif apabila pulang dari sekolah...saya pun tak tahu hari ini kenapa dia asyik melompat-lompat kegembiraan.

"Saya tak sangka dia pergi terlalu awal...baharu dua hari dia bersekolah, dia merupakan anak sulong dan juga anak harapan saya.

"Tuhan telah bagi saya dua hari rasa menjaga dan menghantar anak ke sekolah.

"Apa pun, saya memang reda dan akur dengan ketentuan bahawa ALLAH SWT telah ambil anak saya," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Dalam pertemuan itu, menurut Afif yang mengimbas kembali tragedi, anak sulung daripada dua beradik itu bermain air bersama adiknya, Muhammad Firas Adam, 5 dan dipercayai terjatuh ke dalam parit berhampiran sawah di kampung itu yang dilanda banjir. 

"Adiknya berjaya diselamatkan oleh jiran dan apabila sampai di tempat kejadian saya tak jumpa anak saya...hanya lihat seliparnya terapung.

"Saya fikir dia terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira lapan meter itu lantas terjun mencarinya.

"Hasil bantuan penduduk kampung saya menemuinya di sudut longkang tersebut dan terus beri bantuan penafasan mengharapkan masih ada harapan sementara menunggu paramedik tiba," katanya yang bertugas di Jabatan Kerja Raya(JKR) itu.

Namun, mangsa yang bersekolah di Sekolah Rendah Islam Abim, Indera Mahkota itu gagal diselamatkan.

"Kemudiannya dia dibawa ke HTAA untuk bedah siasat dan adiknya ditempatkan di Unit Zon Kuning untuk pemantauan doktor kerana mengadu sakit dada memandangkan dia ada penyakit lelah," katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa,Muhaimin Fitri, 22, mengakui sedih dengan kehilangan mangsa.

Menurutnya, dia terkejut kerana kedua beradik itu takut dengan air dan berita kehilangan mangsa dimaklumkan oleh kakak iparnya,Intan Fazwani, 33, yang sedang mengandung tiga bulan.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah mencemar duli memberikan sokongan kepada keluarga mangsa dan tiba kira-kira jam 8.15 malam di pekarangan Unit Forensik HTAA.

Titahnya, kejadian tersebut disifatkan satu berita yang menyedihkan buat negeri itu.

"Saya berharap dan berdoa ini jadi satu peringatan kepada kita semua dan ambillah nasihat saya ni dengan secara serius.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua ibu bapa yang tinggal di tepi kolam ke, sungai,perlu awasi anak sepanjang masa khususnya di musim tengkujuh ini kerana kejadian sebegini tidak boleh diduga, "titahnya lagi.


0 comments:

share2