Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 14, 2018

DISKRIMINASI WANITA BERTUDUNG




Kuala Lumpur - Kementerian Sumber Manusia mengesan 13 hotel di beberapa negeri mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja yang bertentangan dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berasaskan agama dan keturunan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, sehubungan itu, pindaan undang-undang bagi menangani larangan diskriminasi di tempat kerja akan disegerakan melibatkan pengenalan peruntukan baru di bawah Akta Kerja 1955.

Katanya, pada masa sama, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) mengadakan perbincangan dengan hotel terlibat dan hasilnya mereka bersetuju secara dasar untuk membatalkan polisi tersebut sebagaimana melibatkan empat pengusaha hotel di Johor yang telah memberikan perakuan secara lisan dan bertulis.

“Hasil siasatan yang dilakukan kementerian ke atas 74 buah hotel bertaraf empat dan lima bintang di Pahang (33), Selangor (14), Johor (15), Kuala Lumpur (enam) dan Putrajaya (enam) bermula November lalu mendapati 13 daripadanya mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja.

“Kementerian ingin mengulangi gesaan kepada majikan supaya menghormati hak-hak para pekerja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan pada masa sama draf cadangan pindaan undang-undang tersebut akan diperhalusi segera bersama beberapa agensi lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Isu pekerja hotel dilarang memakai tudung menjadi perhatian ramai setelah mendapat liputan meluas Utusan Malaysia November lalu sehingga membawa kepada penyiasatan JTKSM melibatkan beberapa hotel terkemuka di seluruh negara.

Isu tersebut timbul apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam di bahagian kaunter yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Tambah Richard Riot, selain tindakan pemeriksaan tersebut, kementerian juga telah mengadakan perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan beberapa pihak lagi.

Katanya, mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan polisi larangan pekerja bertudung serta mendapatkan pandangan agensi lain di dalam menangani isu tersebut termasuk mengenai usul memperkenalkan peruntukan baharu berhubung isu larangan diskriminasi di bawah Akta Kerja 1955.

“Susulan daripada mesyuarat tersebut juga, JTKSM telah mengeluarkan surat kepada dua persatuan dan 10 kesatuan sektor perhotelan pada 18 Disember lalu untuk mendapatkan pandangan bertulis berhubung isu polisi larangan bertudung.

“JTKSM telah menerima maklum balas Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH) yang menyatakan polisi larangan pakaian tudung adalah terpulang kepada pengurusan hotel dan kenyataan itu bertepatan dengan tindakan yang sedang dilaksanakan melalui Pemeriksaan Berkanun ke tempat pekerjaan sektor perhotelan secara berterusan bagi tujuan pemantauan lanjut berhubung perkara ini,” jelasnya.


0 comments:

share2