Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 9, 2017

[ROMPIN] POLIS, MDR TURUNKAN 250 IKLAN HARAM


Polis, MDR turunkan 250 iklan haram


Polis Rompin setakat ini telah membuat tiga tangkapan berkaitan kes pinjaman wang tanpa lesen dan ketiga kes berjaya dituduh serta kini dalam proses perbicaraan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya telah membuat penguatkuasaan sebelum ini dalam usaha membersihkan iklan-iklan berkenaan.

Bagaimanapun, disebabkan sibuk dengan persediaan kemungkinan berlaku bencana banjir, pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menampal atau menggantung semula iklan-iklan di bandar Kuala Rompin.

Melihat masalah itu muncul semula, beliau telah berbincang dengan Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin (MDR), Datuk Mohd Zulkifli Hashim, bagi menjalankan operasi bersama menurunkan semua iklan itu.

"Kesalahan iklan ini adalah di bawah MDR, cuma apabila melibatkan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen baru polis ambil tindakan.

"Setakat ini kita dah membuat tangkapan bagi tiga kes berkaitannya, kita berjaya tuduh dan sekarang dalam proses perbicaraan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada operasi menurunkan sepanduk atau bunting iklan haram anjuran MDR dengan kerjasama Polis IPD Rompin di Bandar Kuala Rompin dan taman perumahan sekitarnya, hari ini.

Biarpun dalam keadaan hujan, sebanyak 250 iklan haram pelbagai saiz telah diturunkan dan tindakan lanjut diserahkan kepada MDR bagi melupuskannya.

Dalam pada itu, Azli turut menggesa orang awam agar melaporkan kepada polis jika mengesan ada aktiviti pinjaman wang tanpa lesen dengan datang sendiri ke balai atau salur maklumat melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Beliau turut mengakui setakat ini tiada lagi kes insiden agresif melibatkan peminjam wang haram dilaporkan di daerah itu dan akan mengambil tindakan tanpa kompromi jika menerima laporan.

"Orang awam juga boleh memusnahkan iklan-iklan ini jika mereka mengesan atau melihatnya kemudian serah kepada MDR untuk membuat pelupusan," katanya.


0 comments:

share2