Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 11, 2017

[KUANTAN] KES PECAH RUMAH TULAR, EMPAT POLIS DITAHAN


Kes pecah rumah tular, empat polis ditahan


Kes pecah rumah yang tular di media sosial menjadi petunjuk kepada penahanan empat anggota polis yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di Taman Alam Perdana di sini, 9 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 36 tahun ditahan pada 7 Disember lalu di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan pada jam 4 petang.

Menurutnya, tiga daripada berpangkat lans koperal dan seorang koperal ditahan reman selama tiga hari bermula mereka ditahan bagi membantu siasatan.

"Polis menyiasat kes yang dilaporkan selepas menerima aduan daripada seorang lelaki pada 10 November yang menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan rokok seludup pelbagai jenama didapati dipecah masuk," katanya pada sidang media di IPD Kuantan.

Abdul Aziz berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh mangsa namun tidak memperoleh sebarang bukti.

"Bagaimanapun, pada Khamis lalu, kira-kira jam 3 petang kita mendapat maklumat bahawa kes berkenaan diviralkan di dalam media sosial sebelun kita mengambil tindakan dengan menahan keempat-empat suspek," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Berdasarkan maklumat, lokasi kejadian terletak kira-kira 500 meter daripada pondok pengawal dan kawasan perumahan berkenaan hanya boleh dimasuki menggunakan kad berpagar automatik selain dikawal rapi pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pemberi maklumat sehingga penjenayah terbabit berjaya ditangkap iaitu empat jam selepas maklumatnya mengenainya ditularkan di media sosial.

"Ingin saya tegaskan bahawa PDRM tidak berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota melanggar kesalahan dan terlibat dalam jenayah,” katanya.


0 comments:

share2