Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 9, 2017

DUA BERADIK HASILKAN TANAH ORGANIK





Pembuatan tanah organik yang bebas dari bahan kimia dan najis haiwan yang diusahakan dua beradik dari Kampung Tan Sri Hamzah di sini, semakin mendapat permintaan di beberapa buah negeri.

Ia berikutan dalam tempoh sebulan sebanyak 18,000 hingga 20,000 beg atau kira-kira 35 tan tanah organik dihasilkan, sebelum diedarkan kepada pelanggan secara terus atau menerusi ejen yang dilantik.

Syarizal Saidin, 43 berkata, pengalaman dalam bidang pemprosesan dan penghasilan tanah organik bersama rakan niaga selama lebih lima tahun dijadikan panduan untuknya mengendalikan perusahaan sendiri.

“Pada tahun 2015, saya cuba menghasilkan sendiri tanah organik sehingga mendapat bimbingan daripada Mardi dan sekarang masih lagi di bawah pemantauan agensi itu.

“Selang tiga bulan sekali, wakil Mardi akan turun ke bengkel ini untuk memantau pemprosesan selain melihat perkembangan dan kesesuaian tanah organik yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Guna sembilan bahan organik

Syarizal berkata, bagi menghasilkan tanah organik yang berkualiti, dia menggunakan sembilan jenis bahan termasuk sabut kelapa dan sisa kelapa sawit yang menjadi bahan utama.

“Penggunaan najis haiwan sememangnya tak digunakan dan tanah ini juga berbeza dengan mana-mana tanah organik lain yang dijual di pasaran kerana kami gunakan bahan-bahan selamat yang menjadikan tanah itu sebagai baja semula jadi.

“Bancuhan setiap bahan perlu ikut sukatan yang betul. Kalau salah sukatan, pemprosesan gagal kerana tanah akan jadi tak subur dan mudah rosak dalam tempoh beberapa bulan” katanya.Sampel tanah organik yang dihasilkan daripada sembilan bahan digaul sebati selama lebih enam jam bagi menghasilkan 700 beg sehari.

Menurutnya, tanah organik tersebut masih boleh digunakan untuk tanaman pusingan kedua selagi ia dicampurkan bersama tanah organik baharu yang sama dan perlu mengikut prosedur mudah untuk menjadikannya sebati.

“Selain bertindak sebagai tanah, ia juga berfungsi sebagai baja semula jadi dan membantu memulihkan kerosakan pada pokok dengan menabur tanah organik ini di sekeliling pokok yang bermasalah.

“Contohnya, kalau pokok rambutan atau durian yang menghadapi masalah seperti daun kekuningan, kita boleh tabur tanah organik di sekeliling batang pokok. Memang ia tak akan menghijaukan semula daun yang kuning dan daun tetap akan gugur tapi akan keluarkan pucuk baru serta hasilkan daun lebih segar dan cantik,” katanya.

Dua saiz bungkusan

Sementara itu, Latif berkata, tanah organik itu mempunyai dua saiz berbeza membabitkan bungkusan seberat 2.5 dan 8 kilogram yang dijual pada harga runcit masing-masing RM4 dan RM12.

“Walaupun tumpuan pasaran adalah kepada nurseri tapak semaian tapi ada juga individu yang dapatkan tanah organik ini secara atas talian.

“Sebenarnya, sukar bagi pengusaha Melayu menembusi pasaran yang dimonopoli oleh bangsa Cina. Tapi, Alhamdulillah, usaha kami mempromosi dan memperkenalkan produk ini membuahkan hasil ,” katanya.

Menurutnya, selain media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, kedua-dua beradik itu turut menyertai karnival atau ekspo bertujuan memperkenalkan produk bumiputera itu.

0 comments:

share2