Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 9, 2017

[MUADZAM SHAH] 'KINI SEMUA BOLEH DENGAR AZAN'


‘Kini semua boleh dengar azan’


Pemasangan alat siaraya di Surau As-Syafie, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang (SMKAP) Muadzam Shah, di sini, dilihat bukan sahaja memberi manfaat kepada sekolah tersebut malah taman perumahan di kawasan berhampirannya.

Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM), Jalaluddin Tajuddin berkata, seramai 600 warga sekolah itu termasuk guru mendapat manfaat termasuk laungan azan menggunakan alat siaraya baharu disumbangkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

“Sebelum ini pembesar suara yang ada hanya untuk bahagian dalam surau dan ia tidak berfungsi dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, bagi memastikan surau berfungsi dengan lebih baik, pihak sekolah membuat permohonan kepada Muip untuk menggantikan peralatan tersebut dan juga karpet.

“Alat siaraya baru ini memang okey dan kekuatan suaranya di luar jangkaan, bukan sekadar manfaat kepada sekolah tetapi juga taman perumahan berhampiran. Sekarang penduduk sudah boleh mendengar azan yang dilaungkan pelajar.

“Peralatan ini juga membantu meningkatkan fungsi surau dengan lebih berkesan dan mengimarahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kuliah dan ceramah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Muip Muadzam Shah, Mohd Hafis Mohd Saad, yang ditemui berkata, permohonan yang diluluskan itu adalah berbentuk bantuan penyelenggaraan surau.

Menurutnya, Muip meluluskan permohonan sebanyak RM41,750 untuk menukar peralatan siaraya dan karpet baharu di surau sekolah berkenaan.

“Bantuan ini antara agihan hasil kutipan zakat yang diluluskan melalui permohonan dibuat pihak sekolah bagi kategori penyelenggaraan masjid atau surau.

“Kita harap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan setakat ini pihak sekolah juga berpuas hati dengan sumbangan yang diterima,” katanya.

Dalam pada itu, Hafis berkata, mana-mana pihak yang mahu membuat permohonan atau pertanyaan mengenai bantuan penyelenggaraan masjid atau surau boleh ke pejabat Muip berhampiran.


0 comments:

share2