Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 9, 2017

[KUANTAN] REMAJA LUMPUH RAYU SUMBANGAN


Remaja lumpuh rayu sumbangan


Seorang remaja tidak mampu bercakap malah pergerakannya terbatas selepas anggota kanan badannya lumpuh selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, di Jalan Kuantan-Bypass, berdekatan Taman Kristal di sini, Julai lalu.

Lebih menyayat hati, sebahagian tempurung kepala Muhammad Aidil Yusri Abdullah, 16, terpaksa dibuang bagi merawat masalah darah beku di bahagian kanan kepala.

Akibatnya, Muhammad Aidil Yusri kini hanya terlantar sepanjang masa di atas katil menanggung derita.

Namun kerana kasih sayang seorang kakak, Nurhafiza Elianti Abdul Halim, 30, sanggup menjaga adik yang lumpuh hingga ke akhir hayatnya dan dibantu kaum keluarga lain.

Menurut Nurhafiza, kini adiknya terpaksa bergantung kepada bantuan ahli keluarga bagi menguruskan dirinya termasuk untuk makan dan minum.

“Sewaktu kejadian itu, Muhammad Aidil Yusri tidak sedarkan diri dan terpaksa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat pendarahan di bahagian kepala.

“Doktor kemudiannya membuat keputusan untuk membuang sebahagian kanan tempurung kepalanya hinggakan dalam tempoh sebulan dia terpaksa menjalani tiga kali pembedahan di kepala untuk membuang darah beku.

“Selain itu, doktor juga terpaksa menebuk dua kali tempurung untuk membuang air. Dia bahagian perut juga doktor terpaksa bedah dipercayai ada pendarahan di hati,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Nurhafiza yang merupakan suri rumah itu berkata, dia dan adiknya yang juga anak kesepuluh dari 11 adik beradik itu kini tinggal di Taman Pantai Batu Hitam.

“Saya dibantu adik-beradik lain bersama-sama menjaganya secara bergilir selepas tiga bulan ditahan di wad HTAA.

“Sedihnya ketika menjaga dia kerana Muhammad Aidil Yusri sebelum ini adalah seorang adik yang periang dan sekarang hanya terlantar sahaja malah kelakuannya juga tidak ubah seperti bayi apabila dia tidak lagi mampu bercakap atau bergerak.

“Hanya mata dia sahaja yang bergerak malah dia tidak boleh makan hanya minum susu sahaja, itupun menggunakan tiub dipasangkan di hidungnya,” katanya.

Sementara itu, katanya, mereka sekeluarga begitu mengharapkan bantuan orang ramai bagi mengurangkan beban untuk menjaganya memandangkan kos yang semakin tinggi.

“Muhammad Aidil Yusri hanya boleh minum susu jenama Peptamen yang berharga RM90 setin dan bertahan selama dua hari sahaja kerana dia akan menyusu tiga jam sekali.

“Namun saya bersyukur kerana masih ada juga pihak yang sudi membantu mengurangkan beban kami sekeluarga dengan menghantar susu dan lampin pakai buang kepada adik saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh hubungi

Nurhafiza Elianti di talian 014-6754338 atau terus ke akaun Maybank adiknya, Nurhafiza Arina (156094332461)


0 comments:

share2