Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR, RABU, 11 April, 2012: Jabatan Meteorologi menamatkan amaran tsunami di Malaysia pada jam 10 malam ini selepas gempa bumi menggegarkan Aceh, petang tadi.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofisik (BMKG) Indonesia juga menarik balik amaran tsunami mulai jam 7.45 malam (8.45 malam waktu Malaysia).
Amaran itu ditarik balik oleh Pusat Amaran Bencana Kebangsaan malam ini.
Sri Lanka malam ini menarik balik amaran tsunami susulan gempa yang melanda Aceh, sehingga mencetuskan kebimbangan di negara pesisir Lautan Hindi.
Begitu juga Thailand menarik balik amaran tsunami berikutan tiada ancaman tsunami di negara itu.
Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilapor berlaku membabitkan keseluruhan 1,774 pelajar serta rakyat Malaysia di Sumatera, termasuk Aceh dan Padang, dua kawasan paling terjejas akibat gempa bumi, kata Konsul Muda Malaysia di Medan, Nor Azhar Hajis.
Atase Pendidikan, yang juga Setiausaha 1 Education Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinada Misnun pula berkata pelajar Malaysia di kedua-dua tempat menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak bencana tsunami.
Mahasiswa Malaysia di Padang dinasihat menyelamatkan diri ke kawasan tinggi sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman tsunami.
Belum ada laporan mengenai korban jiwa atau kerosakan harta benda akibat gempa bumi itu, bagaimapun pihak berkuasa belum menarik balik amaran tsunami.
Pihak berkuasa percaya gempa tektonik itu serta gempa susulan 8.5 pada skala Richter, dipercayai berpotensi menyebabkan tsunami di lima provinsi iaitu Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Bengkulu dan Lampung.
Di PULAU PINANG, dilaporkan penduduk yang berada dalam bangunan tinggi di negeri ini berlari keluar selepas merasai gegaran selama dua minit ekorab gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Ritcher yang mengegarkan Aceh, Indonesia petang ini.
Antara kawasan yang merasai gegaran kuat di negeri ini ialah Bukit Gedung, Relau, Tanjong Tokong, Batu Feringgi dan sekitar Persiaran Gurney.
Di Persiaran Gurney, orang ramai berpusu-pusu meninggalkan sebuah pusat membeli-belah berhadapan dengan laut sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas teruk sepanjang satu kilometer.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat ketika dihubungiUtusan Malaysia menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan berhampiran pantai selepas amaran tsunami dikeluarkan selain turut menempatkan anggotanya memantau keadaan.
Perkhidmatan feri dan laluan di Jambatan Pulau Pinang tidak terjejas sekalipun dua gegaran dirasai di negeri ini susulan kejadian gempa itu.
Ketua Perhubungan Awam Penang Port Sdn Bhd, Suhailawati Ramli memberitahu perkhidmatan feri Pulau Pinang masih beroperasi seperti biasa dan pihaknya sedang memantau keadaan.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS Expressway Berhad (PLUS) Khalilah Mohd Talha berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima arahan menutup Jambatan Pulau Pinang. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku di jambatan itu.
Di SUNGAI PETANI hampir 1,000 penduduk dari lima kampung di persisir pantai Kota Kuala Muda di sini meninggalkan rumah masing-masing menuju ke Dewan Serbaguna Tunku Intan Shafinaz di kawasan berdekatan sebagai langkah keselamatan menghadapi hkemungkinan ancaman Tsunami.
Penduduk dari Kampung Tepi Sungai, Kampung Masjid, Kampung Padang Salim, Kampung Keda Tepi Sungai dan Kampung Kepala Jalan mula meninggalkan rumah masing-masing kira-kira jam 5.30 petang tadi selepas mendapat arahan pihak berkuasa.
Di JAKARTA: Ribuan penduduk di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat keluar rumah menyelamatkan diri setelah gempa bumi berukuran 8.6 pada skala Richter berlaku di Simeulue, Aceh diikuti beberapa gempa susulan.
Data oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mencatatkan beberapa gempa susulan berlaku setelah gempa kuat yang pada awalnya dilaporkan berukuran 8.9 skala Richter pada 3.38 petang waktu tempatan itu namun kekuatan gempa susulan semakin menurun.
Selain penduduk Aceh yang ramai berpindah ke pusat pemindahan, sejumlah penduduk di Balige, daerah Toba Samosir, Sumatera Utara juga bertempiaran keluar rumah apabila merasai gegaran kuat pada kira-kira 5 petang kerana khuatir kejadian itu akan menimbulkan bencana.
Di PADANG, Sumatera Barat, ribuan penduduk bandar itu berkumpul di kawasan Bypass zon hijau untuk berlindung daripada gelombang tsunami, setelah siren amaran tsunami berbunyi lantang di pusat bandar.
Penduduk pergi ke pusat pemindahan di zon hijau dengan menggunakan kenderaan selain berjalan kaki.
Kesesakan lalu lintas dari arah pusat bandar menuju kawasan jalan Bypass Padang, hingga pukul 6 petang masih berlaku kerana kepadatan kenderaan yang terus meningkat sehingga memaksa sebahagian pelajar untuk berjalan kaki ketika pulang dari sekolah.
Di BENGKULU, Ketua Stesen BMKG Kepahiang Dadang Permana berkata peringatan tsunami yang dikeluarkan di Bengkulu akibat gempa susulan yang melanda wilayah Aceh pada pukul 5.43 petang, dilanjutkan hingga 7.15 malam.
BMKG turut mencatat gempa susulan pada pukul 4.28 petang yang berukuran 6.5 pada skala Richter, kira-kira 510 km ke Barat Daya daerah Simeulue, Aceh dengan kedalaman 42 km.
Gempa susulan berukuran 6.1 skala Richter juga dicatat berlaku pada pukul 4.48 petang pada kedalaman 10 km di 630 km ke barat daya Simeulue, Aceh diikuti dengan dua lagi gempa iaitu pada 5.09 petang dengan kekuatan 6.1 dan dengan kekuatan 5.7 skala Richter pada 5.21 petang.
Di PEKAN BARU, Pusat Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (PMKG) di sini mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi dengan kekuatan 8.5 skala Richter berlaku di Aceh hari ini.
"Amaran tsunami akibat gempa yang berpusat di barat daya Simelue, Aceh pada kedalaman 10 km itu meliputi lima wilayah iaitu Aceh, Sumatra Utara, Sumatra Barat, Bengkulu dan Lampung," kata jurucakap PMKG Pekan Baru, Marzuki seperti dilapor Republika Online yang memetik agensi berita Antara
Gempa dengan kekuatan 8.5 skala Richter yang menggegarkan daerah Simeule, Aceh petang ini menyebabkan penduduk di bertempiaran melarikan diri ke kawasan tinggi.
Republika Online yang memetik agensi berita Antara melaporkan, beberapa buah rumah mengalami kerosakan akibat gempa tersebut.
Bagaimanapun, para penduduk kelihatan cemas dan bertempiaran melarikan diri menjauhi kawasan pantai serta mencari tempat-tempat tinggi untuk berlindung.
Seorang penduduk di Aceh, Heru Dwi Suryatmojo memberitahu agensi berita Antara, gempa tersebut menyebabkan bekalan elektrik terputus. "Talian Internet dan telefon terganggu," katanya seperti dilapor Republika.
Di AMBON: Gempa bumi dengan kekuatan 5.4 skala Richter menggegarkan daerah Maluku Tenggara, wilayah Maluku pukul 4.41 petang, hampir serentak dengan gempa bumi di Aceh.
Ketua Pusat Geofizik Ambon, Benny Sipolo berkata, kejadian gempa berlaku di 182km arah barat laut Saumlaki, bandar Maluku Tenggara.
Bagaimana pun, gegaran akibat gempa di kedalaman 134 km di bawah laut itu tidak dirasai oleh penduduk di Saumlaki dan sekitarnya.
Di BANGKOK: Arahan berpindah telah dikeluarkan untuk enam wilayah selatan Thailand berikutan gempa bumi di Sumatera hari ini.
Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi mengeluarkan arahan itu untuk wilayah Krabi, Phuket, Phangga, Satul, Ranong dan Trang.
Pada masa ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket telah ditutup untuk sementara.
Di SINGAPURA:Tsunami setinggi 17 sentimeter dilaporkan di Lautan Hindi dan menuju wilayah Aceh, Indonesia selepas satu gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter melanda luar pantai Sumatera, hari ini.
Gempa bumi kuat itu mengakibatkan penduduk yang ketakutan bertempiaran lari menyelamatkan diri. - Agensi
Allah maha besar