Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 12, 2012

Waspada Janji Pembangkang



JUN tahun lalu, Hurriyet Daily News melaporkan tentang penahanan kira-kira 500 pelajar universiti di Turki. Ini termasuk 89 orang di Istanbul sahaja kerana mendesak supaya dilaksanakan pendidikan percuma di negara itu.

Pada 10 Mac lalu (tahun ini), media yang sama juga melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar di sana bakal berdepan hukuman penjara sehingga maksimum 15 tahun atas isu serupa yang diperjuangkan sejak tahun 2010 lagi.

Tetapi pada akhir bulan lalu, tak pasal-pasal Penasihat PKR, Anwar Ibrahim mengambil contoh bagaimana Turki yang tiada sesen pun hasil minyak, mampu pula memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya. Malah, 'berseloka' lagilah dia kononnya bahawa Recep Tayyib Erdogan memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya dari peringkat rendah hingga universiti walaupun baru tiga tahun memerintah Turki.

Petikan kenyataan Anwar ini dalam dialognya di Subang Jaya itu ada kaitan dengan tuntutan pakatan pembangkang supaya dimansuhkan sahaja PTPTN lantas diberikan percuma sahaja dari pendidikan tadika sehinggalah pengajian universiti.

Beria-ria Anwar sampaikan sanggup berdusta lagi kepada rakyat Malaysia dengan mengambil contoh 'pendidikan percuma' di Turki. Tapi yang demonstrasi pelajar-pelajar Turki itu apa ke halnya, apakah isunya?

Kita tak payah pergi jauh. Kalaulah ikhlaslah pembangkang hendak hapuskan PTPTN - yakni tanggung percuma pelajar untuk mengikuti pembelajaran di universiti, lupuskan hutang peminjam PTPTN yang khabarnya mencecah RM43 bilion dan bayar pula rebat kepada pelajar yang sudah bayar penuh PTPTN - kenapakah semasa berada dalam kerajaan dahulu, dia sendiri terlibat sama meluluskan PTPTN.

PTPTN diluluskan pada 18 September 1996. Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Pastilah ketika itu Anwar nampak penuh signifikan dari mata hatinya mengapa penting dilaksanakan PTPTN ini. PTPTN ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997. Asas penubuhannya adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk berumur 17 hingga 23 tahun memasuki pendidikan tertiari menjelang 2020. Pada masa sama, PTPTN akan menyediakan sumber manusia - maksudnya pelajar di universiti waktu ini - yang mencukupi untuk menampung pertumbuhan ekonomi menjelang Malaysia sebagai negara nanti.

Ada pihak melontarkan pandangannya kepada penulis. Mengapa pada 1996 itu begitu beria-ria Anwar menyokong PTPTN dan sekarang pula 2012 begitu juga beria-ria dia mendesak dihapuskan PTPTN untuk pendidikan percuma. Kata pihak berkenaan, bukankah sikap 'sesumpahnya' itu disebabkan Anwar berimpian besar mahu menjadi Perdana Menteri? Biarlah kita sendiri menilainya.

Menuntut ilmu bukan percuma. Mengapakah kira-kira 200,000 pelajar asing sanggup datang ke Malaysia untuk menuntut ilmu? Mereka sanggup membayar berapa sahaja kerana negara ini diyakini sebagai hab pendidikan utama buat mereka. Dari Timur Tengah, China dan sebutlah negara mana, warganegaranya kini berada di Malaysia untuk menuntut ilmu.

Mencari ilmu menuntut komitmen diri. Kalau semuanya 'free', tidak akan tersemat dalam diri kita untuk menghargai ilmu yang kita kejar. Akhirnya, ia akan mendidik masyarakat untuk tidak bersyukur atas nikmat yang ada. Dalam Islam pun disebut tuntutan kita untuk menimba ilmu.

Apabila bapa Imam Shafie meminta Imam Maliki supaya mengajar anaknya itu, maka berkatalah Imam Maliki bahawa Imam Shafie perlu melepasi penilaian terlebih dahulu sebelum diterimanya. Sebab itulah ulama-ulama dahulu kala sanggup belayar jauh untuk menimba ilmu. Sebab ilmu itu menuntut komitmen yang tinggi. Tak perlulah kita pergi jauh. Di bandar-bandar utama seperti di Shah Alam, ibu bapa akan berusaha mencari pusat tuisyen terbaik untuk anak mereka yang bakal menduduki SPM, PMR dan UPSR. Mereka mahu anak mendapat semua A dalam semua matapelajaran. Dan ibu bapa sanggup mengeluarkan wang yang banyak. Tak ada yang percuma untuk mendapat hasil terbaik.

Dengan Malaysia kini menjadi hab pendidikan utama untuk warga asing, ia sekali gus mencerminkan pembangunan pendidikan kini jelas merupakan sumber ekonomi baru. Dengan kini 400,000 pelajar sahaja yang mengambil SPM setiap tahun dan tiga empat tahun lagi mencapai 500,000 hingga 600,000 orang, maka tidak mustahil akan berlaku limpahan pelajar yang akan memasuki menara gading. Di situ itu nanti, macam mana kita nak korek duit kalau tidak dibayar untuk pembelajaran?

Pakatan pembangkang hari ini akan berkata ''boleh! boleh! boleh! kita boleh buat dalam melaksanakan pendidikan percuma dari tadika hinggalah peringkat universiti". Tapi tengoklah rekod mereka baru empat tahun memerintah di beberapa negeri. Mana janji nak hapuskan tol Sungai Nyior di Pulau Pinang dalam manifesto pilihan raya umum 2008. Apa dah jadi dengan janji nak lupuskan cukai pintu di Selangor. Mengapa bila sepatutnya dibina satu lagi UiTM di Selangor iaitu di Serendah, berpindah pula tapaknya ke Melaka hanya kerana gara-gara sikap 'kebudak-budakan' Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dek gagal menerajui Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor.

Kerana itu, bagi pelajar universiti kita tak perlulah untuk jadi 'hero' semata-mata berjaya menurunkan bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri. Untuk dilabel 'hero kampus' bukan bermakna anda berupaya memimpin demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN. Menjadi hero kampus sebenar ialah bagaimana anda berjaya memperoleh atau mengumpul Purata Gred Nilai Kumulatif (CGPA) terbaik.

Sehingga 29 Februari lalu, seramai 11,764 peminjam/ penerima biaya PTPTN diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman/ pembiayaan pendidikan kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya. Ia melibatkan jumlah pelupusan pembiayaan pendidikan sebanyak RM339.07 juta.

Dan kalau dilihat rekod peminjam yang diluluskan pengecualian bayaran balik mengikut kaum setakat ini, sejumlah 2,347 orang ialah pelajar Melayu dengan amaun RM47. 2 juta. Tetapi pelajar Cina, bilangannya ialah 8,818 orang dengan amaun pengecualian bayar balik PTPTN RM274.2 juta. Inilah hakikatnya. Rekod pelajar Cina di universiti ialah mereka fokus kepada pembelajaran. Mereka sedar harapan menggunung ibu bapa. Mereka tahu jika tak memperoleh CGPA yang baik, sukarlah untuk mencari kerja yang baik dan lumayan gajinya.

Penulis percaya kalau disemak rekod pendemonstrasi dari kalangan pelajar Melayu di PWTC tempoh hari atau mereka yang bakal 'berarak' ke Dataran Merdeka minggu ini, pasti sebahagian besarnya tidak mencapai pun 2.5 CGPA mereka. Cuba tanya si Adam Adli berapa CGPA dia?

Kerana itulah juga amat penting bagi sesiapa yang berada di pentas ceramah pembangkang, dapat menilai dari mata hati akan setiap bait-bait ungkapan yang keluar dari mulut si penceramah. Lebih-lebih lagi apabila bercakap pasal agama, mengeluarkan hadis tertentu atau 'tak pangkah dia, tak masuk syurga'.

Balik ke rumah, semak semula tafsiran hadis itu. Kadang-kala kita takut hendak persoalkan apabila si polan bercakap 'bab-bab' agama. Tetapi sepatutnya itulah tuntutan dalam Islam - kita perlu cari kebenaran. Ini bagi mengelak kita terpedaya dengan janji manis seseorang.

1 comments:

  • Anonymous says:
    April 12, 2012 at 8:22 AM

    Cuba baca pantun lama ni,kot2 boleh kita fikir dan buat panduan untuk tolak PEMBANGKANG:
    DENGAR CAKAP ENGGANG
    MAKAN BUAH BELOLOK
    DENGAR CAKAP PEMBANGKANG
    TERJUM "MASOK LUBUK".

share2