Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Kelab Mendaki Rahim Bin Othman Negeri Pahang (RBO Team) atas kejayaan mendaki puncak Gunung Kinabalu pada 18 November lalu.
Pada pendakian tersebut, 21 pendaki terlibat turut mengagihkan risalah berkaitan lokasi pelancongan di Pahang kepada pendaki lain terutama dari luar negara sebagai usaha mempromosikan kempen Kembali Melawat Pahang (ReVisit Pahang 2018)
Tengku Abdullah bertitah, baginda kagum dengan inisiatif dilakukan kelab itu bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini termasuk mendaki gunung tertinggi di semenanjung, Gunung Tahan di Jerantut.
“Tahniah saya ucapkan dan sampaikan salam tahniah kepada 20 pendaki lain yang berjaya sampai ke puncak... well done!.
“Semua sijil saya sudah tandatangan sebagai tanda pengiktirafan atas kejayaan semua pendaki sampai ke puncak,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada pertemuan dengan pengerusi persatuan tersebut, Abdul Rahim Othman di Istana Abdulaziz, di sini, kelmarin.
Rahim berkata, ekspedisi dengan slogan Kembara Musafir Alam Sejati itu terdiri daripada pengamal media, belia dan pegawai kanan agensi kerajaan.
Menurutnya, pendakian tersebut mendapat sokongan penuh daripada Tengku Abdullah yang juga penaung persatuan dan isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Menjunjung kasih atas sokongan Tuanku.. dorongan dan galakkan daripada baginda meniup semangat kami sehingga berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Kinabalu,” katanya.
Pelepasan peserta ekspedisi disempurnakan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapha Long mewakili Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Johari Hussain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
0 comments:
Post a Comment