Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 19, 2017

[PEKAN] SKUAD BOMBA TAHFIZ PERTAMA DI PAHANG


Skuad Bomba Tahfiz pertama di Pahang


Parlimen Pekan menjadi lokasi pertama yang mewujudkan Skuad Bomba Tahfiz di negeri ini melalui kerjasama Kelab Peramah Parlimen Pekan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.

Pengarah JBPM Pahang, Dato' Abdul Wahab Mat Yasin berkata, penubuhan skuad itu salah sebagai langkah awal terhadap pencegahan dan pengawalan kebakaran di pusat tahfiz.

Menurutnya, sebanyak 15 pusat tahfiz yang berdaftar di parlimen tersebut terpilih dalam program ini.

"Parlimen Pekan adalah lokasi pertama yang mempunyai skuad bomba di pusat tahfiz di negeri ini.

"Melalui skuad ini, kita memberi bimbingan berkaitan langkah keselamatan yang boleh dilakukan sekiranya kejadian kebakaran berlaku," katanya ketika berucap pada Seminar Keselamatan Kebakaran Maahad Tahfiz Parlimen Pekan di Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, semalam.

Hadir merasmikan majlis, Penasihat Kelab Peramah Parlimen Pekan, Dato' Mohd Nizar Dato' Sri Mohd Najib.

Turut hadir, Pengerusi Kelab Peramah Parlimen Pekan, Mohd Faisal Mohd Khalyubi.

Abdul Wahab berkata, sebagai persediaan awal, semua pengusaha pusat tahfiz diberi pendedahan terhadap aspek keselamatan melalui seminar berkenaan.

Beliau berkata, beberapa sesi demonstrasi memadam api menggunakan alat pemadam api turut dilakukan.

"Walaupun pusat tahfiz mempunyai alat pemadam api namun kita mahu memantapkan lagi pengetahuan mereka.

"Kejadian kebakaran yang berlaku di pusat tahfiz bukan perkara baru jadi kita harap aspek keselamatan seperti pendawaian diutamakan,"katanya.

Sementara itu, Mohd Nizar berharap inisiatif awal oleh JBPM Pahang dan Kelab Peramah Parlimen Pekan itu akan menjadi titik tolak kepada penubuhan skuad bomba tahfiz di lain-lain lokasi.

"Kita amat mengambil berat soal keselamatan di pusat tahfiz ekoran beberapa kejadian kebakaran melibatkan tahfiz,"katanya.

Pada majlis itu, 15 pusat tahfiz menerima sumbangan alat pemadam api disampaikan Mohd Nizar.


0 comments:

share2