Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 18, 2017

[MUADZAM SHAH] MURID TADIKA SAHUT KEMPEN KITAR SEMULA


Murid tadika sahut kempen kitar semula


Biarpun baru berusia lingkungan empat hingga enam tahun, murid-murid Tadika Kemas Desa Cempaka, di sini, begitu bersemangat menyahut kempen kitar semula.

Sambil dibantu oleh ibu bapa, mereka berjaya membawa barang-barang terpakai dengan purata berat masing-masing sekitar 2 kilogram seorang untuk dijual kepada SWCorp Cawangan Muadzam Shah, hari ini.

Pengurus Cawangan SWCorp Muadzam Shah, Alex Robert, berkata, sambutan yang diberikan kanak-kanak dan ibu bapa mereka itu menunjukkan sokongan mereka kepada aktiviti ini.

Menurutnya, antara barang yang dibawa mereka adalah kotak, botol air, tin minuman dan plastik serta yang pelbagai lagi yang bersesuaian untuk tujuan kitar semula.

"Ini kali pertama program sebegini dianjurkan bersama tadika di sini dan hasil maklum balas mereka tidak jelas dengan kewujudan SWCorp, jadi peluang ini kami gunakan memberi penerangan mengenai fungsi serta peranan kami.

"Selain pertandingan mewarna, kami minta supaya setiap kanak-kanak membawa barang kitar semula pada hari ini, tidak sangka mereka bersungguh-sungguh membawanya dengan dibantu ibu bapa," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program kitar semula bersama 23 murid Tadika Kemas Desa Cempaka, di sini, semalam.

Alex berkata, barang yang dibawa itu diambil oleh pihaknya mengikut jenis dan harga yang telah ditetapkan manakala hasil jualan itu diserah kepada pihak tadika yang bertujuan sebagai didikan kepada mereka.

Katanya, program sama akan diperbanyakkan lagi pada tahun depan selepas sambutan dan maklum balas yang begitu baik.

"Secara tidak langsung walaupun masih kecil mereka dah tahu barang kitar semula ada nilai dan boleh menjana pendapatan," katanya.


0 comments:

share2