Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 23, 2017

[KUANTAN] PESTA IKAN GELAMA DI PANTAI BESERAH


Pesta ikan gelama di pantai Beserah


Bagaikan pesta ikan gelama, berikutan hasil tangkapan ikan tersebut yang banyak diperolehi sejak beberapa hari lalu terutamanya di persisiran pantai Beserah.

Bagi nelayan pesisir pantai, tangkapan mereka pada musim ini disifatkan lebih lumayan berbanding musim-musim sebelumnya dan menganggap ia rezeki buat mereka sebelum tiba musim peralihan monsun.

Tinjauan Sinar Harian di persisiran pantai Beserah di sini, hari ini sebahagian nelayan pesisir pantai yang ditemui menyifatkan ia rezeki runtuh buat mereka kerana tangkapan diperolehi boleh mencecah hingga tiga ataupun empat tan sehari.

Salah seorang nelayan, Mohd. Rafiudin Mokhtar, 33 berkata, sejak beberapa hari ini dia dan rakan-rakan pulang seawal pukul 11 pagi ke darat memandangkan hasil tangkapan lebih banyak daripada yang dijangkakan.

"Kebiasaannya nelayan akan turun ke laut pukul 5 pagi dan pulang dalam pukul 1 hingga 3 petang hingga mendapat hasil yang diinginkan namun, bila tiba musim peralihan monsun kita dapat pukat banyak ikan sehingga penuh satu bot.

"Situasi ini memang berlaku setiap tahun dan kali ini adalah musim ikan gelama. Tahun ini hasil lebih banyak dan hasil tangkapan boleh mencecah sampai empat tan sehari," katanya ketika ditemui di pantai tersebut di sini semalam.

Jelasnya, tempoh tersebut akan bertahan untuk beberapa minggu lagi dan peluang yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin olehnya dan rakan-rakan lain untuk menambah sumber pendapatan.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Ramli Mohamad, 50, memberitahu, setiap tahun dia tidak akan melepaskan peluang untuk memukat ikan setiap kali tiba musim peralihan monsun.

Menurutnya, ia adalah aktiviti tahunan dan ada kalanya umpama pesta menangkap ikan.

"Setiap pagi saya akan turun ke laut dan menangkap ikan di sepanjang perairan Balok, Beserah hingga ke Kuantan. Lokasi tangkapan pula kadang kala sejauh 18 hingga 20 kilometer dari arah darat.

"Pada musim ini ikan paling banyak adalah ikan gelama, ada masanya akan tiba musim sotong dan udang. Tempoh ini merupakan lubuk rezeki buat golongan nelayan," katanya yang telah 10 tahun menjadi nelayan pesisir pantai.

Situasi itu juga menjadikan pantai tersebut menjadi tumpuan orang ramai terutamanya penduduk setempat yang tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan ikan segar.


0 comments:

share2