Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 23, 2017

[JERANTUT] HONDA C70 DIBERI NAFAS BAHARU


Honda C70 diberi nafas baharu


Melihat kepada keunikan rupanya, siapa sangka ia hanyalah sebuah motosikal lama Honda C70 yang telah diberi nafas baharu.

Motosikal yang dibeli sekitar tahun 1986 itu diberi sentuhan kreatif hasil 'air tangan' Zabidi Hisyam Yahya, 38.

Menurutnya, dia mula mengubahsuai motosikal terbabit sekitar tahun 2014.

“Motor ni, motor lama milik ayah saya. Dulu masa kecil motor ni lah satu-satunya kenderaan yang kami sekeluarga guna.

“Sebab sayangkan motor ni, saya fikir lebih baik saya baiki dan ubah suai,” katanya.

Tambahnya, sebanyak RM3,000 telah dihabiskan untuk mengubahsuai motosikal itu dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan.

“Memang saya minat ubah suai kenderaan. Masa kecil lagi saya dah ubah suai basikal.

“Daripada basikal, saya beralih pula kepada motosikal dan sekarang ni saya minat juga ubah suai kereta lama,” katanya.

Zabidi berkata, selain mengubahsuai bahagian rangka motosikal itu, Zabidi turut menggantikan enjin motosikal terbabit yang sebelum ini sudah lusuh.

“Saya tak tukar kapasiti enjin (cc) dan masih mengekalkan cc yang asal.

“Cuma enjinnya saja yang saya tukar dan gantikannya dengan enjin motosikal Honda EX5,” katanya.

Dalam pada itu, Zabidi yang juga merupakan seorang peniaga berkata, aktiviti mengubahsuai ternyata memberi manfaat dan keuntungan kepada peminat aktiviti berkenaan.

“Kalau kita jual motosikal lama yang sudah diubah suai...boleh cecah belasan ribu ringgit.

“Kami ubah suai kenderaan lama bukan untuk berlumba atau menunjuk kenderaan siapa lagi hebat, tapi sebagai menggalakkan golongan belia mengasah bakat terpendam mereka.

“Menerusi bakat yang ada itulah mereka boleh dapatkan kerja di sektor berkaitan selain boleh buat perniagaan sendiri,” katanya.


0 comments:

share2