Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 24, 2017

[KUANTAN] MAHU AKTIFKAN RIVER CRUISES


Adnan Yaakob


KERAJAAN negeri mengalu-alukan individu atau pihak swasta yang berhasrat menjalankan aktiviti menyusuri Sungai Kuantan atau 'River Cruises' yang dianggap gagal dilaksanakan sebelum ini.

Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob berkata, cadangan tersebut bagi mengaktifkan kembali aktiviti tersebut yang sudah diberikan nafas baharu pada 2011.

Katanya, pihak yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan melalui Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam tempoh terdekat.

“River Cruises pernah dijalankan sebelum ini namun operasinya gagal disebabkan tidak mendapat sambutan walaupun pelbagai usaha dilakukan.

“Operasi ini bukan sekadar bot sahaja sebaliknya kedai-kedai di sekitarnya perlu memainkan peranan.

“Dengan itu, jika ada pihak yang ingin mengusahakan aktiviti ini, dari segi kerajaan kita mengalu-alukannya untuk kepentingan pelancongan Pahang,” katanya.

Beliau berkata di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang, di sini, semalam (rabu).

Adnan berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Rosli Abdul Jabbar (Pas-Tanjung Lumpur) sama ada kerajaan bercadang menjadikan persisiran Sungai Kuantan terutama sekitar jambatan Tanjung Lumpur sebagai `River Cruises’ yang menyediakan rumah bot dan sebagainya.

Dalam pada itu, Adnan berkata apabila diusahakan nanti, ia tidak hanya tertumpu kepada aktiviti menyusuri sungai semata-mata.

“Bot yang diusahakan nanti juga perlu kelainan untuk diberikan keselesaan kepada penumpang.

“Sebagai contoh, ketika ke Mesir mengiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kami juga berkesempatan dibawa menaiki River Cruises di sana dan ia sangat menarik apabila di dalam bot itu sendiri ada penyediaan hidangan dan hiburan yang ringan boleh menjadi antara daya tarikan.

“Mungkin pengusaha bersama pihak agensi seperti MPK boleh memikirkannya,” katanya.


0 comments:

share2