Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 18, 2017

[TEMERLOH] ANESTESIOLOGI SEMAKIN DIFAHAMI





Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini, akan memberikan pendedahan lebih kepada masyarakat mengenai fungsi dan peranan anestesiologi atau bius di dalam perubatan moden.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hoshas, Dr Rahimah Haron berkata, berbeza dengan dulu, kebanyakan masyarakat semakin mengetahui fungsi dan peranan bius kepada pesakit yang menjalani pembedahan.

Menurutnya, khidmat kaunseling dan penerangan langkah-langkah yang bakal diambil kepada pesakit yang bakal menjalani pembedahan adalah antara salah satu kaedah memberi kefahaman kepada masyarakat sebelum pesakit diberikan bius.

“Apabila pesakit sedar mengenai ubat bius ini, mereka faham dan tidak lagi berasa bimbang untuk menjalani pembedahan.

“Memang pada awalnya masyarakat kurang faham fungsi bidang ini kerana kami kerja di belakang tabir tetapi apabila ada penerangan dan langkah yang diambil sebelum pembedahan kebanyakan masyarakat semakin faham tugas dan fungsi bidang ini,” katanya selepas program Sambutan Hari Anestesia Sedunia 2017 bertemakan Count Me In peringkat Hoshas di sini, semalam.

Program yang turut disertakan dengan pameran dan penerangan kepada pelajar sekolah itu dirasmikan Pengarah Hoshas, Datuk Dr Bahari Awang Ngah.

Rahimah berkata, program tersebut diadakan setiap tahun di bermula 2011 dan sejak itu semakin ramai pelajar sekolah yang dijemput memahami fungsi dan peranan bidang anestesiologi. 

Menurutnya, bagi peringkat kakitangan jabatan diadakan larian mesra sebagai sambutan acara ini pada tahun ini dan bagi peringkat masyarakat pihak Hoshas menjemput pelajar-pelajar dari sekolah berhampiran untuk terlibat salam pada sesi penerangan taklimat sambutan hari tersebut. 

Sementara itu, Pengarah Hoshas, Datuk Dr Bahari Awang Ngah berharap program penerangan itu akan dapat diadakan di luar hospital seperti di sekolah pada tahun-tahun hadapan bagi beri kefahaman kepada lebih ramai masyarakat.

Menurutnya, program penerangan dan pemahaman kepentingan bius perlu diberi pendedahan awal kepada masyarakat di peringkat sekolah atau pelajar lagi. 

“Kita akan buat di luar selepas ini khususnya di sekolah supaya masyarakat dapat faham lebih baik,” katanya.


0 comments:

share2