Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 1, 2017

PULANGAN LUMAYAN INDUSTRI TUNA


Pulangan lumayan industri tuna


Serdang – Industri tuna mampu memberi pulangan lumayan kepada negara berdasarkan kepada permintaan tinggi di peringkat global.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, negara seperti Jepun, Eropah, Timur Tengah dan Taiwan merupakan pengimport tuna dalam jumlah besar dan Malaysia perlu rebut peluang untuk mengimport lebih banyak ke negara berkenaan.

“Industri tuna di negara ini jika dimajukan bersungguh-sungguh berupaya menyumbang hampir 130,000 tan metrik bernilai RM1 bilion kepada sasaran pengeluaran tuna pada 2020 dan dapat kurangkan defisit perdagangan makanan negara pada masa akan datang.

“Sumber perikanan tuna negara masih belum diterokai sepenuhnya dan berpotensi untuk dikembangkan.

"Pendaratan dalam negara pada 2015 adalah sebanyak 68,400 tan metrik boleh ditingkatkan kepada 100,000 tan metrik menjelang 2020 berdasarkan potensi sumber dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Produk Inovasi Tuna di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2017), semalam.

Katanya, Malaysia juga mempunyai potensi di laut antarabangsa dengan kerajaan meletakkan sasaran untuk mendaratkan 30,000 tan metrik ikan tuna dari Lautan Hindi bernilai RM300 juta menerusi pemberian lesen operasi kepada 135 unit vesel tuna menjelang 2020.

“Malaysia telah menjadi negara ahli Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) sejak Mei 1998. Sebagai ahli kepada IOTC, ini memberi ruang dan peluang kepada negara untuk membangunkan industri tuna dengan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi,” katanya.

Namun, Ahmad Shabery berkata, matlamat tersebut memerlukan usaha dan penambahbaikan untuk mempertingkatkan keupayaan dalam aspek logistik, pelabuhan, tangkapan dan peralatan memproses tuna sebelum dapat dieksport ke negara luar.

“Kita belum mula sampai ke tahap sepenuhnya dan kita tahu industri ini memang lumayan dengan harga tuna mampu mencecah sehingga ribuan ringgit sekilogram.

“Cuma setakat ini hanya 12 kuota lesen kapal dipakai dengan hasil diperoleh hanya mencecah 10,000 tan metrik setahun.

"Jumlah itu sepatutnya lebih kerana ia sumber kekayaan dengan kemampuan menghasilkan pelbagai produk lain seperti sate tuna dan masakan lain yang akhirnya akan menjadi salah satu identiti negara satu masa nanti,” katanya.


0 comments:

share2