Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 2, 2017

[BERA] PELAJAR ANTARA BAKAL TERIMA NIKMAT PROJEK LJK


 Ismail Sabri Yaakob


Setiap kali selepas menghabiskan cuti di rumah, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Kampung Guai, Rahmad Haris Iskandar Suhaimi sentiasa memastikan dia tiba di asrama sebelum 6 petang iaitu kira-kira tiga jam setengah lebih awal sebelum pagar asrama ditutup.

Bukan tidak mahu menghabiskan lebih banyak masa di rumah, namun remaja berusia 16 tahun itu bimbang akan keselamatan keluarganya jika mereka pulang daripada menghantarnya selepas 7 malam, disebabkan keadaan jalan ke sekolah itu yang gelap.

"Tiada lampu jalan sedangkan untuk ke sekolah perlu melalui kira-kira 15 kilometer jalan kampung. Jalan juga kecil dan ada kalanya ada lembu melintas. Jadi saya fikir tidak mengapa jika saya pulang awal, asalkan mereka selamat.

“Selepas ini mungkin saya boleh pulang lewat sedikit dan boleh makan malam bersama-sama keluarga terlebih dahulu," katanya semasa ditemui pada Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) 2017 di Kampung Guai di sini semalam.

Program itu disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.

Rakannya Muhammad Ikmal Azahar, 16, pula berkata keadaan jalan yang gelap itu juga menyebabkan dia tidak dibenarkan pulang bersendirian ke asrama, meskipun sudah mempunyai lesen menunggang motosikal.

Seperti rakan yang lain, dia juga akan pulang awal ke asrama supaya keluarganya tidak perlu memandu melalui jalan yang gelap.

"Ada sekali sahaja saya terpaksa pulang selepas 7 malam kerana ada kecemasan. Tapi saya pula yang tidak senang duduk selepas keluarga beredar sehingga adik telefon maklumkan yang mereka selamat sampai di bandar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Saifuddin Ibrahim, 51, berkata kampung tersebut bakal menerima 84 unit LJK dan berharap ia akan mengubah keadaan kampung yang sunyi dan ‘mati’ pada sebelah malam.

Katanya tidak banyak aktiviti malam diadakan di kampung itu melainkan orang-orang tua ke masjid.

"Apabila sudah terang nanti, keadaan mungkin lebih meriah kerana di sini ada gelanggang futsal... anak-anak muda boleh beriadah di waktu malam dan guru boleh adakan kelas tambahan," katanya.

Namun bagi Saifuddin apa yang lebih penting ialah keselamatan 395 penduduk daripada 97 keluarga di kampung itu akan lebih terjamin khususnya semasa melalui jalan kampung.

"Pernah berlaku beberapa kemalangan sebelum ini, namun setakat ini Alhamdulillah tidak melibatkan kecederaan yang serius. Jalan hendak ke sini kecil dan kebanyakan tempat adalah kawasan kebun atau belukar.

"Memang senang kemalangan jika motosikal yang digunakan tiada lampu atau waktu hujan," katanya yang berterima kasih atas keprihatinan kerajaan 'menerangi' kampung itu.

Bagi peniaga Mohd Faizal Mohd Mokhtar, 49 yang merupakan anak jati kampung itu, pelaksanaan LJK merupakan satu keperluanmeskipun penduduk mungkin sudah terbiasa dengan persekitaran gelap di situ.

Sekurang-kurangnya pemasangan lampu itu membantu mereka jika mengalami kecemasan dan terpaksa keluar dari kampung pada waktu malam dan juga kepada mereka yang pertama kali datang ke kampung itu, katanya.


0 comments:

share2