Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 15, 2017

[MUADZAM SHAH] MENYUSURI LALUAN LAGENDA


Menyusuri laluan legenda


Sungai Aur yang terletak di Bukit Ibam di sini, pernah menjadi laluan utama penduduk untuk keluar kerana pada zaman itu belum ada landasan kereta api dan jalan raya di kawasan itu.

Biar pun sudah lama berlalu, namun generasi kini perlu didedahkan dengan sejarah yang disifatkan oleh penduduk setempat sebagai laluan legenda.

Kelmarin, seramai 50 pelajar daripada sembilan sekolah rendah di sekitar Muadzam Shah berpeluang menyusuri sungai itu dari Jeti Kampung Aur hingga Kampung Gadak sejauh 8 kilometer (km) dengan berkayak.

Penyelaras program, Mohd Rozi Bahari, berkata, persiapan daripada pelbagai aspek terutama keselamatan dibuat sebaik mungkin agar program berjalan dengan lancar.

Menurutnya, bantuan daripada jurulatih Pusat Kokurikulum Pahang yang ada di sekitar daerah Rompin dalam melatih peserta banyak menyumbang bagi memastikan kelancaran program.

“Tujuan kita anjurkan program ini selain mendedahkan peserta dengan sejarah Sungai Aur, ia juga bagi membina keyakinan murid-murid mewakili sembilan sekolah ini. Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ibam, SK Kampung Aur, SK Buluh Nipis, SK Muadzam Shah, SK Bukit Ridan, SK Perantau Damai, SK Kedaik, SK Bandar Tun Razak dan SK Simpai,” katanya.

Turut hadir merasmikan program Exco Belia dan Sukan Pahang, Dato' Mohd Johari Hussin bersama Adun Bukit Ibam, Dato' Wan Kadri Wan Mahusin, kelmarin.

Mohd Rozi berkata, semua peserta mengambil masa kira-kira 2 jam sebelum berjaya sampai di Kampung Gadak yang menjadi lokasi majlis penutup program.

Katanya, ketika menghampiri lokasi penamat, hujan turun dengan lebat namun peserta tetap meneruskan kayuhan dalam keadaan selamat.

“Selaku wakil penganjur, saya ucapkan terima kasih kepada komuniti Kampung Aur dan Kampung Gadak yang memberi kerjasama baik dalam menjayakan program.

“Tahun depan insya-ALLAH kita akan cuba menganjurkan lagi program ini bergantung pada maklum balas yang diterima,” katanya.


0 comments:

share2