Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 22, 2017

[KUANTAN] KESEMPITAN HIDUP TAK HALANG NENEK JAGA 10 CUCU





“Biar nenek tak makan asalkan cucu-cucu yang dijaga sejak kecil tak kelaparan,” demikian kata Kamsiah Che Isa, 57, yang cekal menjaga 10 cucu dalam serba kekurangan.

Biarpun sentiasa kesempitan wang, dia tabah menjaga cucu-cucunya berusia tiga bulan hingga 12 tahun dan dua daripada empat anak perempuannya sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, anak-anaknya lain juga bukanlah daripada keluarga senang dan mengalami nasib hampir sama namun dia tetap cekal menjaganya kerana tidak sanggup berpisah terutama cucu-cucunya yang masih kecil.

“Kami sekeluarga pernah terputus bekalan makan selama tiga hari, duit pula tak ada.. namun saya tetap usahakan asal kami masih lagi dapat tinggal sebumbung.

“Bagi mengelak daripada cucu-cucu tak makan dan terus lapar, adakala kami terpaksa makan sayur kangkung masak air sahaja yang tumbuh di belakang rumah. Mujurlah mereka semua faham keadaan dilalui sekarang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Bukit Setongkol, di sini, semalam.

Ibu kepada lapan anak ini berkata, keadaannya bertambah rumit sejak tujuh bulan lalu selepas tidak berupaya menyediakan kuih untuk jualan di beberapa warung berhampiran.

“Sebelum ini saya jual pulut panggang dibantu anak-anak perempuan, walaupun hasil jualan tak seberapa namun wang itulah yang tampung perbelanjaan makan minum untuk kami sekeluarga.

“Kini kami kerana hanya bergantung harap kepada suami, Abdullah Ishak, 40, yang bekerja sebagai pemasang kanopi dengan upah hanya RM5 bagi setiap pemasangan.

“Saya mohon jasa baik bantu bayar hutang rumah sewa yang sudah tujuh bulan tertunggak, bil api air sudah mencecah RM2,000 serta yuran persekolahan cucu-cucu,” katanya yang menerima bantuan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baucar Pusat Zakat Pahang.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Tengku Datuk Hisyam 4B (TDH) Pahang, Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin berkata, keperitan keluarga tersebut telah mendapat perhatian dalam usaha membantu mengurangkan penderitaan melalui sumbangan bantuan keperluan harian dan wang tunai.

Mereka yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 06100-41-00031171-3 (Rose Zulaina Mohd Ali) atau hubungi 014-8391741.


0 comments:

share2