Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 2, 2017

[JENGKA] WANG BUKAN MODAL KEJAYAAN


Wang bukan modal kejayaan


Merentasi laluan Jalan Bandar Jengka-Kampung Awah dekat sini, anda pasti akan melihat deretan tiang roman berwarna-warni serta ribuan produk simen yang disusun betul-betul di tepi jalan.

Ribuan binaan tersebut adalah seperti rasuk bangunan, pasu bunga, replika perhiasan seperti tempayan, pagar malah juga dapur kubur yang terletak di kawasan yang agak sunyi di celah-celah antara ladang kelapa sawit.

Begitu pun bagi penduduk tempatan, ia adalah pemandangan biasa kerana mereka mengetahui ribuan binaan simen yang memenuhi pemandangan itu adalah kilang perusahaan produk simen kepunyaan seorang penduduk setempat yang merupakan salah seorang usahawan Melayu berjaya di daerah ini.

Mohd Rafi Ekramudin, 44, berkata, deretan binaan tersebut sengaja disusun bagi menarik perhatian orang ramai khususnya pengguna jalan raya ke kilang berkeluasan 1.6 hektar miliknya yang menjalankan perniagaan itu sejak 2009.

Apa yang menarik, kilang tersebut merupakan sebuah kilang bumiputera terbesar di Pantai Timur.

“Saya tubuhkan syarikat kontraktor dengan nama Sharali Construction.

“Oleh kerana keperluan syarikat terhadap produk-produk berasaskan simen amat tinggi, maka saya berfikir untuk buat sendiri supaya kos lebih murah serta bekalan tak terputus untuk kerja-kerja pembinaan yang diperoleh syarikat.

“Alhamdulillah kini kilang saya membekalkan kepada lebih 80 kedai dan syarikat hardware di seluruh Pahang termasuk beberapa ejen di Selangor. Apa yang menyeronokkan saya juga diberi kepercayaan untuk jadi pembekal kepada beberapa syarikat bukan Melayu di Pahang,” katanya. 
Hasil idea inovasi

Mohd Rafi juga sering melakukan inovasi mengikut perkembangan semasa khususnya dalam pembikinan dan reka bentuk tiang roman, bim serta binaan pagar rumah.

Bersama kakitangan pejabat Sharali Construction di Felda Jengka 14.


Menurutnya, ketiga-tiga binaan tersebut adalah produk yang paling mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggannya yang sanggup berbelanja besar untuk mengindahkan kediaman dan bangunan.

Selama 21 tahun dalam dunia perniagaan, Mohd Rafi bukan sahaja pemilik kepada dua syarikat, tetapi beliau juga adalah pengusaha taman tema air di Negeri Pahang, iaitu Kubang Gajah Waterpark di Temerloh.

Beliau kini dalam perancangan bagi merealisasikan impian memiliki sebuah lagi taman tema air yang dicadangkan di lokasi Bandar Tun Abdul Razak untuk riadah seluruh penduduk Wilayah Jengka, termasuk di negeri berhampiran.

“Insya-ALLAH sekiranya urusan permohonan dan lain-lain selesai, orang ramai dapat mengunjungi Jengka Wonderland yang akan dibina berkonsepkan fairytale.

“Segalanya berjalan lancar buat masa ini malah kos masuk taman air ini juga akan dicaj murah kerana kebanyakan sumber bahan binaan adalah dari kilang milik saya sendiri.

“Istimewanya taman tema air milik saya ialah mengekalkan konsep makanan luar boleh dibawa masuk dan ini tentu mengurangkan kos belanja para pelanggan saya,” katanya.

Kebanyakan seni bina bangunan miliknya bertemakan Rom, Timur Tengah dan Moghul. Beliau juga membabitkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan lain seperti perhotelan di Felda Jengka 14, pembinaan dan peruncitan.

Dia juga bersyukur kerana percubaan untuk menjayakan projek dapur kubur berwarna dan batu nisan bertulisan khat berkembang pesat dan mendapat permintaan tinggi masyarakat peneroka.

Daripada pengamatannya, kata Mohd Rafi, masyarakat mahukan sesuatu kelainan tetapi bermutu sebagaimana penerimaan mereka terhadap dapur kubur berwarna yang diperkenalkan olehnya. 
Malas ke sekolah

Menceritakan pengalamannya sebelum bergelar usahawan dan jutawan, Mohd Rafi tersenyum sambil berkata, bukan mudah untuk dia berada di tempatnya sekarang.

Dia yang asalnya tidak pandai belajar dan malas ke sekolah hanya berminat membantu arwah ayahnya menjalankan perniagaan gerai buah.

Mohd Rafi sentiasa melakukan pemantauan kerja-kerja di kilang bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan.


“Saya berniaga tanpa jemu. Pernah minta kerja di sebuah kilang simen dengan niat nak belajar dan curi ilmu. Akhirnya dari situ saya jadi mahir dan nekad buka perniagaan sendiri.

“Saya bekerja 10 jam, tujuh hari seminggu. Percaya atau tidak, dari dulu, sampai hari ini walaupun bergelar majikan, saya masih bekerja keras bagi memastikan perjalanan perniagaan berlangsung dengan baik dan teratur,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting adalah kualiti serta harga berpatutan serta mengekalkan hubungan baik antara majikan dan pekerja, syarikat dan pelanggan serta ejen pembekal.

Malah peniaga bangsa bukan Melayu juga memuji kejayaan Mohd Rafi yang menjadi pembekal kepada peniaga-peniaga bukan Melayu.

“Bos bukan kerja duduk di pejabat nikmati pendingin hawa saja. Saya sentiasa jalankan pemantauan. Bergerak dari satu lokasi ke lokasi. Buat semakan seperti quality control supaya tak dimanipulasikan pihak lain. 

“Arwah ayah pernah berpesan walau apa pun yang berlaku jangan berhenti berniaga. Kejayaan itu ada.

“Kita perlu cipta kejayaan dari apa yang kita ada. Wang bukan modal tetapi modal kepada kejayaan adalah diri kita sendiri. 

“Itulah formula yang saya pegang sehingga kini yang membawa maksud nak berjaya bukan dengan wang tetapi kena ada semangat dan kekuatan diri. Jangan berhenti,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini semalam.


0 comments:

share2