Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 11, 2017

[TIOMAN] SISA MINYAK KEMALANGAN KAPAL


sisa minyak


Sisa minyak yang mencemari perairan dan pantai Pulau Tioman baru-baru ini, disahkan berpunca daripada tumpahan minyak berikutan kemalangan kapal dagang di perairan Johor pada 18 Ogos lalu.

Pengesahan itu diperoleh selepas pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama pihak Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang dan dua wakil Syarikat Boyd Marine Consultant membuat lawatan bagi mengesahkan punca pencemaran minyak itu pada 30 Ogos lalu.

Pengurus Besar TDA, Khairur Rizal Ramli berkata, hasil lawatan melibatkan beberapa pihak itu membuktikan sampel diambil di Panuba, Pulau Tulai, pantai sekitar Kampung Tekek dan Air Batang itu berpunca daripada perlanggaran dua kapal berkenaan.

Jelasnya, susulan itu kerja-kerja pembersihan telah dibuat oleh Syarikat Boyd Marine Consultant selama empat hari bermula 3 hingga 7 September lalu.

“Kaedah pelupusan dibuat di kawasan sama seperti pelupusan tarball yang telah diperakukan oleh JAS. Lawatan pemeriksaan susulan bagi kerja pembersihan akan dibuat Syarikat Boyd Marine Consultant bersama wakil TDA pada 11 September ini untuk memenuhi keperluan dan memastikan syarat-syarat pembersihan dipatuhi,” katanya.

Khairur Rizal berkata, kerja pembersihan dijalankan syarikat insurans kapal berkenaan dengan mengupah penduduk tempatan.

Portal Sinar Harian Online, 18 Ogos lalu melaporkan sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo kontena telah berlanggar di posisi 3.2 batu nautika Timur Laut Tompok Utara Teluk Ramunia, Pangerang kira-kira jam 10.30 malam.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat mengesahkan perlanggaran tersebut turut mengakibatkan tumpahan minyak.


0 comments:

share2