Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 18, 2017

[TEMERLOH] HAJAT MENINGGAL DI MAKKAH TERCAPAI


Hajat meninggal di Makkah tercapai


Hasrat seorang pemuda juga orang kurang upaya (OKU) untuk meninggal dunia di Makkah menjadi kenyataan apabila menghembuskan nafas terakhir di tanah suci itu 6 September lalu.

Allahyarham Mohd Sufian Resli 38, yang bertolak menunaikan ibadah haji bersama ibu dan bapanya pada 27 Julai lalu meninggal dunia di Makkah akibat jangkitan paru-paru.

Bapanya, Resli Yusuf, 64, berkata, Allahyarham Mohd Sufian yang tidak dapat berjalan itu tidak menunjukkan perubahan ketara selain gembira ketika bertolak ke tanah suci.

Menurutnya, anak ketiga daripada enam adik beradik itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dan sehinggalah selesai menunaikan ibadah haji.

“Kami reda dengan apa yang berlaku dan saya bersyukur melihat jenazah allahyarham disembahyangkan jemaah di Masjidil Haram dan dikebumikan di tanah suci.

“Tiada apa-apa yang pelik, cuma ibunya ada beritahu sebelum pergi menunaikan ibadah arwah ada cakap mahu meninggal dunia di Makkah,” katanya.

Katanya selepas dikunjungi wakil Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di rumahnya di Taman Bukit Bendera di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husain.

Sementara itu, Abdul Shukor berkata, sempena kunjungan itu pihak Tabung Haji memberikan sumbangan takaful khairat kematian, air zam-zam dan kurma kepada waris jemaah.

“Tabung Haji sudah menguruskan jenazah allahyarham yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Syarai’e Makkah. Kita berharap semoga seluruh keluarganya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, seramai 48 jemaah haji Malaysia meninggal dunia pada tahun ini termasuk empat dari Pahang.

“Sehingga kini pihak Tabung Haji telah melakukan ziarah ke 32 rumah waris jemaah yang meninggal dunia dan program ziarah akan dilakukan secara berterusan," katanya.


0 comments:

share2