Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 23, 2017

[RAUB] RM11 JUTA UNTUK EKOPELANCONGAN ULU DONG


Shahiruddin Ab Moin


Sebanyak RM11 juta telah diperuntukkan kerajaan bagi membangunkan pelancongan di Pulau Chekas dan Lata Jarum, Ulu Dong sejak 1999 sehingga kini.

Adun Dong, Dato' Sri Shahiruddin Ab Moin berkata, hasil pembangunan tersebut, Ulu Dong menerima kunjungan 2,000 pelancong setiap minggu dan jumlah itu bertambah pada musim cuti persekolahan.

Menurutnya, pelancongan domestik itu beri impak positif kepada peniaga kecil dan petani yang menjual hasil mereka.

“Hujung minggu, laluan di Pulau Chekas dan Lata Jarum sesak dengan kedatangan pelancong yang nak mandi-manda di situ.

“Ia memberi peluang kepada penduduk kampung jual hasil pertanian. Hujung minggu penduduk di situ kalau jual buah atau sayur mereka pasti habis,” katanya.

Beliau yang juga Exco Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri berkata, selain keunikan air terjun dan kecantikan chalet yang menjadi tarikan pelancong, pihaknya turut mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang datang membuat kajian bunga rafflesia yang tumbuh di kawasan berkenaan.

“Kita telah minta UKM buat kajian bunga rafflesia yang mampu hidup di kawasan ini untuk kita jadikan ia sebagai salah satu tarikan pelancong,” katanya.

Sementara itu, Shahiruddin berkata, sejak 1999 sehingga kini, RM40 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan infrastruktur, sekali gus memberi kemudahan lengkap buat penduduk setempat.

“Melalui peruntukan ini, jalan kampung, kebun, dusun di Ulu Dong ditar dan tiada lagi jalan bertanah.

“Kita ingin beri keselesaan kepada penduduk untuk ke kebun dan dusun kerana majoriti sumber pendapatan penduduk di sini adalah pertanian,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya cuba mohon dengan Kerajaan Pusat sama ada melalui Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai infrastruktur asas jalan kampung terbabit untuk dibuat laluan bertingkat.

Menurutnya, ini kerana bukan mudah kerajaan buat jalan baharu kerana ia melibatkan pengambilan tanah milik penduduk.

“Mengenai kos, bukan murah atau mahal jadi isu, tapi tanah tiada. Kita tidak mahu ambil tanah penduduk kerana tanah tanah pertanian yang akan merencatkan pendapatan mereka," katanya.


0 comments:

share2