Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 19, 2017

[RAUB] PENGHIDAP DIABETES, ASMA KRONIK PERLU BANTUAN


Penghidap diabetes, asma kronik perlu bantuan


Seorang belia yang menderita sakit diabetes tahap satu dan asma kronik memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos perubatannya.

Khairul Adham Burhan, 22, yang menetap bersama keluarganya di kawasan perumahan Batu 18, di sini menghidap penyakit diabetes sejak berusia 16 tahun manakala asma yang dihadapinya baharu dikesan baru-baru ini.

Lebih menambah derita apabila Khairul Adham atau nama panggilan Elong kini tidak mampu bercakap apabila tiub yang memasuki kerongkong bagi saluran susu khas telah mengakibatkan peti suaranya terjejas.

Bapanya, Burhan Saat, 46, berkata, walaupun anak sulungnya itu menghidap penyakit diabetes sejak di Tingkatan Empat namun ia tidak menjejaskan aktiviti harian malah sentiasa aktif dan ceria.

Menurutnya, namun segalanya berubah selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu apabila Elong diserang demam yang berlarutan hingga menyebabkan berlakunya jangkitan kuman pada paru-paru.

"Saya bersama isteri, Roswati Abdul Rahman, 41, membawa Elong ke Hospital Raub sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan lanjut.

"Semasa di Hoshas, Elong telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 22 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Burhan berkata, seminggu selepas keluar hospital Elong kembali mengadu sesak nafas sebelum dimasukkan semula ke Hoshas selama lima hari pada 25 Ogos lalu.

Tambahnya, 10 September lepas kesihatan Elong kembali merosot sebelum dirujuk ke Hoshas buat kali ketiga dan doktor mengesahkan dia menghidap penyakit asma kronik yang menyebabkannya bergantung pada bantuan oksigen untuk bernafas.

Katanya, akibat penyakit tersebut Elong tidak mampu lagi bekerja di sebuah kilang sawit di Kampung Tersang di sini kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"Sekarang hospital ibarat rumah kedua Elong kerana dia kerap berulang alik bagi mendapatkan rawatan. Doktor juga menyarankan agar Elong diberi susu khas kerana dia tidak mampu mengunyah makanan seperti biasa.

"Susu khas berkenaan berharga RM99.80 setin dan kami perlu membeli sekurang-kurangnya enam tin sebulan. Dia perlu diberi susu tersebut enam kali sehari menerusi tiub yang dipasang melalui hidung.

"Elong turut perlu disuntik insulin empat kali sehari dan kos untuk membeli jarum suntikan juga mencecah ratusan ringgit,"katanya.

Burhan berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan bagi membiayai perbelanjaan perubatan serta kos ulang alik ke hospital untuk rawatan anaknya.

"Saya hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa tambahan pula masih ada dua lagi anak yang sedang belajar. Isteri tidak bekerja kerana menjaga anak bongsu berusia empat tahun selain perlu memberi lebih perhatian pada Elong.

"Jadi saya berharap agar ada pihak yang sudi tampil bagi meringankan beban kos rawatan dan pembelian susu khas Elong. Saya turut berdoa agar dia dapat kembali pulih seperti biasa,"katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan akaun Maybank milik Burhan Saat, 106138128080 atau hubunginya di talian 012-9977539.


0 comments:

share2