Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 8, 2017

MALAYSIA PENGELUAR CECAIR PENCUCI BUAH PINGGANG UTAMA ASEAN








Nilai: Malaysia muncul sebagai hab pengeluar cecair pencuci buah pinggang atau peritoneal dialisis (PD) bagi rantau Asean dan Selatan Asia menerusi pembukaan kilang Fresenius Medical Care (FMC) di bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Kilang yang berpangkalan di Jerman itu mampu mengeluarkan lima juta beg PD setiap tahun dengan jumlah pelaburan mencecah RM1 bilion merangkumi nilai import, pelaburan tenaga kerja dan eksport ke negara seperti Indonesia, Vietnam, Mynmar, Thailand, Filipina, India dan Sri Lanka.

Presiden dan Ketua Eksekutif FMC, Harry De Witt, berkata dalam fasa lain, pengeluaran produk PD itu akan ditingkatkan sehingga 25 juta beg setahun.

"Pelancaran kilang ke 38 di dunia ini memberikan dimensi baharu kami di Malaysia yang mengeluarkan solusi atau cecair PD iaitu produk bagi menyelamatkan nyawa pesakit kronik buah pinggang.

"Pembukaan kilang ini juga memberi peluang kepada kami untuk memindahkan teknologi, peralatan dan pengetahuan kepada negara ini," katanya pada majlis pelancaran FMC di Bandar Enstek.

FMC adalah pengeluar terbesar produk dan perkhidmatan dialisis di dunia dengan pemilikan serta menjalankan operasi di 3,700 klinik dan 310,000 pesakit.

Ia menyediakan kira-kira 47 juta rawatan dialisis setahun dan memulakan rawatan ke atas pesakit setiap 0.7 saat di seluruh dunia.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Dr Chen berkata, kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) -pemilik pusat dialisis untuk membeli peralatan hemodialisis.

"Kementerian mengiktiraf manfaat rawatan terapi menggunakan PD untuk pesakit kegagalan buah pinggang peringkat akhir.

"Ia boleh dilakukan di rumah dan memberikan pilihan gaya hidup lebih baik serta manfaat secara fisiologi kepada pesakit," katanya.


0 comments:

share2