Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 12, 2017

[KUANTAN] TAK MAMPU BIAYA KOS BINA RUMAH


Tak mampu biaya kos bina rumah


Dua buah keluarga di Kampung Tengah, di sini, mengharapkan ada bantuan untuk membaik pulih kediaman mereka yang musnah keseluruhan dalam kejadian kebakaran 9 Ogos lalu.

Siti Meriam Sheikh Ahmad, 61, berkata, modal besar diperlukan bukan sahaja untuk membina malah bagi pembersihan kawasan rumah yang terbakar.

Tambahnya, sehingga kini masih tidak mampu membiayai kos membina rumahnya itu.

“Saya kerja sebagai tukang jahit dan suami, Mohd Yusof Mohd Sab, 59, pula hanya tukang urut jadi semua kelengkapan dah musnah. Buat masa ni kami masih tak ada sumber pendapatan mencukupi.

“Ada juga bantuan awal daripada beberapa pihak dan badan kebajikan tapi digunakan untuk perbelanjaan harian dan sewa rumah buat sementara waktu.

“Saya amat berharap pemimpin setempat dan pihak berwajib bantu sumbangkan dana bagi ringankan beban kami” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, kos pembinaan bagi kedua-dua rumah yang musnah itu dianggarkan hampir RM100,000.

“Tapi saya tak kisah kalau tak dapat dana secara keseluruhannya, dapat bantuan bahan binaan pun dah cukup.

“Nanti dapatlah kami bina balik rumah untuk berteduh, sekurang-kurangnya ada kediaman sendiri.

“Kalau boleh saya berharap dapat bina balik rumah dalam tempoh terdekat, dan saya juga suami dapat mulakan hidup baru,” katanya.

Sementara itu bagi, Sheikh Fadhir Sheikh Mustafa, 41, sehingga kini masih belum dapat membuat sebarang perancangan membina rumahnya.

“Memang nak bina balik rumah atas tapak asal sebab saya juga buka bengkel baiki kenderaan di sini yang turut musnah dalam kebakaran.

“Dana yang perlu ada untuk buat rumah bukannya sikit, harga barang pun mahal. Setakat ni saya cuba untuk bina balik bengkel baiki kereta agar dapat cari rezeki semula.

“Saya juga ada anak-anak yang masih kecil dan bersekolah. Jadi memang kena usaha dapatkan dana kerana sebab kami memang perlukan penempatan baru,” katanya yang menetap di rumah keluarga buat sementara waktu.


0 comments:

share2