Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 20, 2017

[KUANTAN] RUMAH DAIF DIBINA SEMULA


Rumah daif dibina baharu


Kesulitan dan ketidakselesaan dialami pasangan suami isteri ekoran keadaan rumah pusaka yang didiami kini terlalu uzur bakal berakhir.

Rumah pusaka dihuni Faizunizam Abdul Ghani, 40, dan isteri, Nor Hasliza Misnin, 34, mengalami kerosakan teruk termasuk dinding dan lantai reput akibat diserang anai-anai.

Mereka amat bersyukur atas bantuan itu apabila sebuah rumah baharu akan dibina di atas tapak rumah asal yang dirobohkan.

Nor Hasliza berkata, rumah pusaka yang dihuni terlalu daif apabila bumbungnya turut bocor namun mereka tak mampu membaikinya.

“Kami tak mampu untuk baiki kerana pendapatan pun tak seberapa.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai manakala suami kerja kampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chengal Lempong, di sini, semalam.

Hadir merasmikan simbolik pembinaan rumah itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mazlan Mat Rashid.

Turut hadir, Pengerusi Biro Kesihatan, Kebajikan dan NGO Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Dr Johan Mat Sah dan Pengurus Giat Mara Indera Mahkota, Zulkiflee Mohamad.

Keluarga tersebut terpilih melalui Projek Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang melayakkan rumah mereka dibina baharu ekoran kerosakan rumah pusaka yang agak teruk.

Ibu kepada empat cahayamata berusia satu hingga 12 tahun itu berkata, mereka menumpang di rumah saudara sementara rumah tersebut siap dibina.

Sementara itu, Mazlan berkata, projek bernilai RM56,000 itu akan siap dalam tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, kerajaan melalui Giat Mara akan terus membantu golongan kurang berkemampuan melalui program berkenaan.

“Kita akan terus mengenal pasti rumah yang daif dan layak di Indera Mahkota bagi menerima bantuan di bawah program ini.

“Saya harap kontraktor yang bertanggungjawab dapat melaksanakan projek ini dengan baik,” katanya.


0 comments:

share2