Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 21, 2017

[KUANTAN] MAUT DISENGAT TEBUAN


Maut disengat tebuan


Seorang bapa tidak menyangka perubahan sikap anak bongsunya yang menjadi terlalu manja petanda dia akan pergi buat selamanya akibat terkena 67 sengatan tebuan ketika bermain di luar kawasan rumahnya di Kampung Padang sini, kelmarin.

Raafiee Abdul Rahim, 39, berkata, anaknya, Khaleef Eusoff, 2, menunjukan sikap manja keterlaluan ketika berada di rumah mahupun di taska sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, boleh dikatakan setiap hari sebelum kejadian sengatan tebuan, Khaleef mahu sentiasa dibelai dan sebolehnya tumpuan perlu diberikan kepadanya sepenuhnya.

“Sikap manja arwah tu menjadi-jadi... kalau di rumah nak perhatian dan kami sekeluarga melayan kerenahnya dengan sebaiknya.

“Di taska pula, cikgunya bertitahu arwah nak kelihatan kacak, baju tu nak kena butang sampai ke leher sebab nampak ‘smart’.. cikgu pun layan saja kerenah dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang di sini, semalam.

Anak kedua Raafiee itu disahkan meninggal dunia jam 8 pagi kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas terkena 67 sengatan tebuan.

Bagaimanapun, dia sekeluarga reda dengan pemergian tersebut dan menganggap ada hikmah di sebalik setiap kejadian berlaku.


Raafiee menunjukkan lokasi yang menjadi tempat Khaleef Eusoff bermain pada hari kejadian.


“Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun masih terbayang keadaan Khaleef yang meraung kesakitan ketika saya memangkunya dan membawa dia ke hospital.

“Ketika di hospital dia masih dalam keadaan sedar dan boleh bercakap sebelum keadaannya menjadi kritikal pada tengah malam semalam sebelum meninggal dunia,” katanya.

Badan Khaleef dipenuhi tebuan, sewaktu dengar jeritan

Menceritakan tragedi terbabit, Raafiee berkata, kira-kira jam 5 petang, Ahad lalu, Khaleef dikatakan sedang bermain di luar rumah sebelum menghampiri kawasan sarang tebuan yang terletak kira-kira 10 meter dari luar kawasan rumahnya.

Jelasnya, ketika kejadian dia sedang berkebun sementara anaknya bermain berhampiran dengannya.

“Saya terkejut bila dengar dia berteriak (jeritan) dan menangis lalu segera menghampiri dan mendapati badan Khaleef sudah dipenuhi serangga berbisa tu.

“Saya segera menariknya, membuka baju saya untuk mengibas-ngibas supaya tebuan itu tak terus menyengat dan membersihkan badannya. Saya juga disengat tebuan (20 sengatan) sebelum kami membawanya ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Saya dan isteri, Norhayati Ahmad, 35, kemudian membawa Khaleef ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana hospital itu mempunyai kemudahan yang lengkap untuk merawat Khaleef,” katanya.

Raafiee berkata, anak lelakinya kemudian ditempatkan di hospital begitu juga dengan dirinya.

Bagaimanapun, dia meminta supaya tidak di tempatkan di wad kerana mahu melihat keadaan anaknya yang ketika itu sedang bertarung nyawa.

Katanya, dia sentiasa mendengar Khaleef meraung kerana sakit akibat gigitan tersebut sepanjang mendapatkan rawatan di HTAA.

Tiada kaitan dengan bauksit

Raafiee memberitahu, pada jam 3 pagi, kelmarin, doktor telah memanggil ahli keluarga bagi mendapatkan kebenaran untuk memasukkan ubat plasma beku segar (FFP) untuk mencairkan darah memandangkan dalam badan anaknya terlalu banyak toksik.

“Saya benarkan ubat FFP itu dimasukkan kerana doktor beritahu buah pinggang dan hati Khaleef sudah tidak berupaya untuk berfungsi.

“Bila masuk ubat tu, keadaan Khaleef dalam keadaan berubah sekejap stabil dan kejap tak stabil sehinggalah ke pagi," katanya.

Raafiee memberitahu, kira-kira 8 pagi, doktor mengesahkan Khaleef meninggal dunia disebabkan kandungan toksik di dalam darah terlalu tinggi hingga sistem organ dalaman lain gagal berfungsi.

Khaleef selamat dikebumikan jam 2.30 petang, kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.

Dalam pada itu, dia turut menyuarakan kekesalan di atas segelintir netizen yang mengaitkan kes kematian anaknya dengan kawasan perlombongan bauksit.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku di halaman rumahnya dan aktiviti perlombongan itu jauh di belakang rumahnya.

“Perkara ini tak ada kaitan dengan bauksit... ia berlaku di kawasan rumah saya dan saya pada ketika itu sedang berkebun,” katanya yang menyedari kewujudan sarang tebuan itu sejak beberapa hari lalu.

Sarang terbabit terletak di kawasan tong drum yang ditinggalkannya di luar kawasan rumah.

Dalam perkembangan sama, Raafiee berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk melakukan kerja pembersihan dan memusnahkan kawasan sarang terbuan itu.

218 aduan berhubung sarang tebuan diterima APM

Sementara itu, Pengarah APM negeri, Zainal Yusoff mengesahkan ada menerima aduan berhubung perkara itu.

Jelasnya, pihaknya telah menghantar Skuad Charlie bagi tujuan memusnah tebuan terbabit kira-kira 1 pagi, semalam.

APM memusnahkan sarang tebuan yang mengakibatkan kematian mangsa.


Beliau memaklumkan APM sudah menerima antara 450 hingga 500 kes membabitkan kes memusnahkan sarang tebuan di negeri ini.

“Kes musnah sarang tebuan bulan Ogos sebanyak 491 kes manakala bagi bulan September hingga kini sebanyak 218 kes seluruh negeri,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan membuat laporan atau aduan kepada APM sekiranya di kawasan mereka didapati ada serangga terbabit.


0 comments:

share2