Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 7, 2017

[KUANTAN] DERITA KETUMBUHAN DALAM KEPALA


Derita ketumbuhan dalam kepala


Ibu mana yang sanggup melihat penderitaan anak yang menghidap penyakit kronik sehingga terpaksa menanggung pelbagai ujian berat melawan kesakitan.

Bagi, Nur Fitrah Nor Faris, 21, anaknya Nor Aliff Sazwan Mohd Asraf yang berusia lima tahun dianggap terlalu kecil untuk menanggung sengsara itu apabila disahkan menghidap ketumbuhan di dalam kepala, Jun lalu.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu setakat ini perlu menjalani enam pembedahan termasuk membuang air di dalam kepalanya.

“Bila doktor sahkan anak saya ada ketumbuhan, saya menangis terkejut dengan ujian berat ini.

“Awalnya saya seperti tak dapat terima hakikat, namun setiap hari cuba memujuk diri dan akhirnya dapat menerima ketentuan ALLAH SWT dengan hati terbuka.

“Malah Nor Aliff Sazwan seakan tahu dan tidak mahu saya terus susah hati, dia langsung tidak menunjukkan kesakitan malah masih lagi mampu tersenyum,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Dalam pada itu, Nor Fitrah berkata, anaknya itu, sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghidap sebarang penyakit.

“Dia mula menunjukkan perubahan pada Aidilfitri lalu apabila tiba-tiba mengalami demam yang panjang iaitu hampir seminggu.

“Saya sangka, dia tak apa-apa tetapi selepas itu, ada perubahan bila dia berada seperti seorang yang khayal.

“Malah dia juga mudah tertidur dan ada ketika dia sedang duduk atau buat sesuatu pun boleh tertidur,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Ular.

Katanya, dia segera membawa Nor Aliff Sazwan ke Hospital Kemaman dan doktor berpendapat ada selaput kuman di dalam otaknya.

“Memandangkan ketika itu keadaanya agak teruk jadi dia dipindahkan ke Hospital Kuala Terengganu dan doktor segera buat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

“Hasilnya didapati ada ketumbuhan dalam kepala dan perlu buat pembedahan segera bagi membuang cecair di situ.

“Kemudian anak saya dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi menjalani lima pembedahan di situ namun kini kami berada di Hospital Kuala Lumpur untuk buat pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan dan masih menunggu tarikh sesuai,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak anaknya sakit dia tidak lagi bekerja kerana menguruskan Nor Aliff Sazwan.

“Suami, Mohd Asraf Baharuddin, 24, bekerja sebagai kelindan lori dengan gaji tidak seberapa.

“Justeru itu, saya mengharapkan bantuan orang ramai untuk bantu tampung kos rawatan anak saya.

“Saya juga ingin melihat anak saya kembali sihat dan membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh hulurkan sumbangan melalui akaun BSN Nur Fitrah Nor Faris 0611541000082641 atau hubungi 011-23520685


0 comments:

share2