Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 5, 2017

MENJAWAB KOMEN TS MUHYIDDIN YASSIN MENGENAI FELDA


Image result for fuad zakarshi


Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

1. Kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menunjukkan bahawa dia amat terkejut dengan pemberian pelbagai insentif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada warga Felda sempena sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan pada 23 Julai 2017. Dia tidak menjangka Perdana Menteri dan Felda mampu memberi insentif yang begitu banyak kepada peneroka. Selama ini Muhyiddin dan pemimpin Pakatan telah memberikan pelbagai gambaran negatif mengenai Felda dan Perdana Menteri. 

2. Perdana Menteri mengumumkan pemberian pelbagai insentif berjumlah RM1.588 billion yang antara lain melibatkan peruntukan sebanyak RM474.78 juta untuk bayaran insentif khas peneroka, pelupusan sebahagian baki pinjaman pembelian saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) Berhad berjumlah RM128.1 juta, pelupusan hutang penanaman semula sebanyak RM519 juta, pewujudan dana khas pelupusan lebihan hutang penanaman semula berjumlah RM300 juta dan geran khas penanaman sebanyak RM166.7 juta. Muhyiddin cuba mengalih isu 6 insentif itu dengan pertanyaan di manakah pelan pemulihan menyeluruh Felda dan mempersoalkan sumber peruntukan sebanyak RM1.588 bilion ini. Mahu tidak mahu, dalam kenyataannya, Muhyiddin terpaksa mengakui bahawa insentif yang diberikan oleh Perdana Menteri sememangnya boleh meringankan beban para peneroka. 

3. Ternyata Muhyiddin tidak peka dengan perkembangan Felda apabila berandaian bahawa insentif yang diberikan Perdana Menteri ini bersifat 'one off' atau hanya 'gula-gula' pilihan raya. 

4. Pertamanya, Muhyiddin wajar sedar bahawa insentif ini bersifat jangka panjang dan merupakan sebahagian daripada langkah jangka panjang pemulihan Felda. Ia amat berbeza dengan pemberian-pemberian durian runtuh kepada yang diberi setiap tahun kepada peneroka Felda di dalam bentuk wang tunai, Bonus Insentif Produktiviti Peneroka (BIPP), dividen dan duit raya. Sebelum pengumuman 6 insentif terbaru ini, pada bulan Jun 2017, Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM500 dan dividen FGV sebanyak RM280 kepada setiap peneroka dengan nilai keseluruhan sebanyak RM73.68 juta. Jumlah BIPP kepada peneroka yang dibayar pada Januari tahun 2017 pula keseluruhannya berjumlah RM66.7 juta. 

5. Kedua, Muhyiddin perlu peka bahawa pada bulan Jun yang lepas juga, Perdana Menteri turut memberikan insentif khas di antara 10%-30% gaji pokok kepada 3,625 kakitangan Felda bagi menghargai jasa mereka dan insentif tambahan 10% daripada gaji pokok kepada petugas di barisan hadapan, iaitu kakitangan rancangan. 

6. Ketiga, mungkin Muhyiddin tidak menyangka bahawa Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM6.45 juta untuk pembinaan jalan di empat rancangan Felda dan bersetuju membenarkan peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) di bawah kerajaan Pusat digunakan bagi menyelenggara jalan-jalan di kawasan rancangan Felda. Perdana Menteri juga telah bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion di bawah RMK11 (RM200 juta setahun) untuk pembinaan paip air dan jalan raya di dalam kawasan-kawasan Felda. Pembelaan sebegini tidak pernah diberikan oleh ketuanya, Pengerusi Pakatan dan PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun pemerintahannya. Sejak 1996, iaitu ketika Tun M menjadi Perdana Menteri, Felda tidak pernah menerima sebarang peruntukan sebaliknya hanya bergantung kepada dana dalaman sendiri. Sekarang pula Tun M kononnya hendak membela Felda sedangkan dulu, peruntukan pun tidak diberikan. 

7. Keempat, pelan pemulihan Felda telah bermula melalui pertama, penstrukturan semula organisasi dan kedua, penstrukturan semula kewangan Felda. Asas pemulihan ini adalah permuafakatan Felda dan usaha mengembalikan Felda kepada peranan asalnya, iaitu bagi membolehkan warganya menerima limpahan daripada hasil yang diusahakan, termasuk peningkatan hasil dan pendapatan, pembangunan aspek sosial seperti pendidikan, serta pembinaan rumah generasi kedua Felda. 

8. Kelima

, untuk pengetahuan Muhyiddin, 6 insentif ini adalah salah satu langkah daripada sejumlah langkah pemulihan Felda yang menjurus kepada aspek penambahbaikan model pengurusan kebun peneroka yang bermula pada tahun 2017 sehingga 2020, usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan beban peneroka dan seterusnya bantuan penyediaan perumahan generasi baharu Felda, pemberian Lot Tapak Rumah dan kelulusan pembinaan dua unit rumah dalam satu tapak tanah yang akan bermula pada tahun 2017 sehingga tahun 2021. Tidakkah ini bersifat jangka panjang dan bukan 'one-off'? 

9. Mungkin Muhyiddin tidak sedar bahawa Felda telah mengumpulkan ribuan aduan melalui pelbagai saluran melibatkan aduan berkaitan penyata akaun, infrastruktur jalan, kebersihan ladang, hasil tanam semula, pengurusan, pembajaan dan pelbagai aduan lagi. Dari 6,061 aduan yang diterima dari pelbagai saluran ini, 5,381 telah diselesaikan dan 680 masih di dalam tindakan. 

10. Dari manakah sumber insentif RM1.588 bilion ini diperolehi? RM166.7 juta merupakan Geran Khas Tanam Semula Peneroka MPOB, pelupusan hutang tanam semula tidak melibatkan peruntukan tunai dan bakinya adalah dari sumber dana dalaman Felda 2017. Andaian Muhyiddin bahawa peruntukan kerajaan digunakan untuk insentif adalah salah dan andaiannya bahawa Felda rugi dari segi operasi sehingga tidak mampu menjana dana untuk pemberian insentif ini juga tidak boleh dipakai. Tidak seperti dakwaan pembangkang, hakikatnya Felda tidak bangkrap, sebaliknya masih mempunyai perolehan dari operasinya, dividen dari pelaburannya dan hasil dari aset-asetnya. 

11. Muhyiddin sepatutnya menyedari bahawa Perdana Menteri dan kerajaan amat komited memajukan Felda dan menjaga kebajikan warga Felda termasuk generasi baharu sejak dahulu lagi, bukan seperti pakatan pembangkang yang berpura-pura menunjuk minat untuk membela warga Felda semata-mata kerana ingin mendapat undi dalam pilihan raya. 

12. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Tun Mahathir dan Muhyiddin tidak mempunyai JIWA FELDA dan bukan benar-benar berminat untuk membela warga Felda. Felda bukan legasi mereka. Sejak 1996, iaitu semasa Tun M menjadi Perdana Menteri, bukan sahaja Felda tidak pernah menerima peruntukan dari kerajaan malah ia juga hampir diswastakan. 

13. Ini amat berbeza dengan Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Najib yang jauh lebih rapat dengan masyarakat Felda. Mereka mahu mengeluarkan orang Melayu daripada garis kemiskinan hidup dan FELDA merupakan salah satu daripada strateginya. Datuk Seri Najib sudah begitu lama menjadi pembela kuat FELDA. Beliau terlibat dalam pelbagai usaha memajukan warga Felda sejak dulu lagi, termasuk mewujudkan Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara Felda pada tahun 2006 yang membolehkan begitu ramai anak-anak warga Felda melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, perubatan, bioteknologi, sains aktuari, ekonomi, perakaunan, perladangan dan pelbagai bidang lagi. 

14. Siapakah yang sepatutnya lebih dipercayai rakyat? Tun M dan Muhyiddin yang tidak banyak membantu Felda semasa mereka berkuasa atau Najib yang begitu hampir dengan Felda dan sudah begitu banyak berbudi kepada warganya sejak sekian lama?

0 comments:

share2