Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 10, 2017

[KUANTAN] TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG


Tinggal sehelai sepinggang


Dua keluarga dari Kampung Tengah, di sini tinggal sehelai sepinggang manakala sebuah keluarga lagi hanya mengalami kemusnahan sebahagian harga benda apabila rumah mereka terlibat dalam satu kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11 malam itu merupakan kejadian pertama di kawasan tersebut, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Salah seorang mangsa, Sheikh Fadhir Sheikh Mustafa, 41, berkata, dia yang bekerja sebagai mekanik terkilan apabila hanya mengetahui kejadian yang berlaku selepas hampir dua jam.

Katanya, dia tiada di rumah kerana bersama tiga anak keluar makan malam.

“Saya terkejut sampai tak boleh cakap apa bila dapat tahu rumah yang kami duduk hampir 10 tahun musnah. Adik ipar beritahu yang masa kejadian mereka tak dapat hubungi saya sebab telefon saya dah habis bateri.

“Sampai rumah saya cuma nampak tiang hangus dan bara yang masih berasap. Satu rumah termasuk semua dokumen peribadi, duit, baju dan peralatan sekolah anak-anak hangus," katanya.

Katanya, sebelum kejadian dia ada berasa tidak sedap hati meninggalkan rumah namun perasaan itu dibiarkan berlalu.

“Biasanya kalau nak keluar rumah memang saya pastikan semua suis ditutup, tapi sebab nak cepat dan memikirkan keluar makan sekejap saja, saya tak periksa.

“Saya rasa kejadian berlaku mungkin disebabkan litar pintas dan rumah kami papan jadi api mudah merebak," katanya.

Masih trauma

Dalam pada itu, seorang tukang urut, Mohd Yusof Mohd Sab, 59, berkata, dia masih trauma dan terbayang lagi keadaan api yang marak membakar rumahnya.

Mohd Yusof berkata, ketika kejadian dia ada bersama isterinya yang merupakan seorang tukang jahit, Siti Meriam Sheikh Ahmad, 62, dan seorang anaknya sedang beristirahat di rumah sebelum mendengar orang menjerit.

Katanya, kejadian yang berlaku antara 15 hingga 20 minit telah memusnahkan hampir 80 peratus rumahnya dan turut melibatkan dua motosikal serta sebuah kereta.

“Kami tergamam dan tak sempat nak selamatkan apa-apa sebab panik.

“Disebabkan rumah papan yang dah lama, jadi api makin cepat merebak," katanya.

Risau merebak

Seorang lagi mangsa yang merupakan seorang pemandu, Osman Aziz, 59, berkata, kejadian berkenaan begitu mencemaskan memandangkan rumah-rumah di kawasan tersebut dekat antara satu sama lain.

“Saya orang pertama tengok percikan api datang dari rumah sebelah (rumah Fadhir). Saya sangat bimbang masa tu kalau-kalau ia merebak memusnahkan rumah-rumah lain.

“Dianggarkan dalam tempoh 10 minit sahaja api memusnahkan rumah Fadhir dan dalam masa sama merebak ke bahagian dapur rumah saya menyebabkan beberapa kelengkapan dan atap bangsal musnah," katanya.

Tambahnya, dia menganggap kejadian itu satu dugaan dan merupakan ketentuan ALLAH SWT dan paling penting semua anggota keluarga terselamat


0 comments:

share2